update : Itulah tajuk yang sedang dicadangkan kepada kandungan penuh buku politik yang akan diterbitkan kelak. Apapun paparan dibawah adalah diambil dari bab 2 yang menyentuh PAS dan jamaah. Sekadar gimik untuk menanti keputusan siapa MB yang sah !
[..] Janganlah kerana kita asyik dibuai angin kemenangan, maka kita lupa bahawa PAS ini adalah sebuah jemaah Islam dan bukannya sebuah parti politik. Politik hanyalah satu juzuk daripada perjuangan PAS. Janganlah kita gagal untuk membezakan peranan kita sebagai kader jemaah Islam dengan kader sebuah parti politik.
Politik adalah cara untuk kita mendapatkan kuasa bagi melicinkan lagi kerja dakwah dan kemenangan politik itu bukanlah matlamat utama. Almarhum Tuan Guru Dato Fadhil Mohd Nor pernah menyebutkan – Tidak mengapa jika kita kalah dalam pilihanraya kerana matlamat kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada masyarakat walaupun kemenangan menerusi pilihanraya itu tetap kita mahukan. Jelas.
Apa yang menyedihkan adalah ramai daripada kader-kader PAS tidak lagi menjadikan dakwah sebagai matlamat utama perjuangan. Kita hanya berbicara soal menang atau kalah. Soal kerusi itu milik parti mana. Kerusi itu siapa calonnya. Soal calon itu anak tempatan atau orang luar. Pelbagai lagi.
Bukankah ini menggambarkan betapa kita gagal untuk memahami perjuangan PAS? Kenapa kita gagal? Jawapannya mudah. Kegagalan sistem tarbiyyah yang selama ini menjadi nadi kekuatan PAS.
Penyokong PAS pada awal penubuhan PAS hanyalah merupakan kelompok petani dan orang-orang kampung. Pendek kata, mereka ini “nobody”. Tidak dikenali sesiapa pun.
Namun, kelompok “nobody” ini mampu memberikan nyawa kepada PAS sehingga PAS sampai kepada generasi hari ini. Semuanya kerana tarbiyyah. Mereka dididik untuk memahami sepenuhnya tentang perjanjian mereka dengan Allah swt. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Mereka menghadaminya.
Akujanji ini menyerap masuk ke setiap ruang bulu roma mereka. Mengalir di dalam saraf dan darah mereka. Mereka berjaya mempertahankan mesej dakwah walaupun kalah berulang kali di sudut politik.
- Bagaimanakah kita yang hidup dalam suasana serba moden ini?
- Bagaimanakah kita yang memegang amanah dakwah di dalam suasana yang serba ada ini? Adakah kita seperti mereka? Lebih daripada mereka atau jauh lebih memalukan berbanding mereka?
Mereka hanya petani tetapi kita jurutera. Mereka hanya penoreh getah tetapi kita pensyarah. Mereka tidak pernah kenal ABC tetapi kita kenal A sampai Z. Secara kasarnya, kita memiliki kemudahan jauh lebih baik berbanding zaman mereka. Berjayakah dakwah kita yang serba canggih ini?
Jawapannya, kita GAGAL.
Gagal bukan kerana kita tidak mampu tetapi gagal kerana kita melupakan dan mengenepikan soal keberkatan daripada Allah swt. Inilah punca kenapa kita yang berada di dalam jemaah ini pada hari ini adakalanya kelihatan seperti tenggelam punca apabila tertekan dan ditekan. Kita gagal menjiwai Islam walaupun kelihatan kita cukup “Islamik”.
Renungkanlah apa yang dicatatkan di bawah menerusi harti nurani kita sendiri. Kita berjubah dan berserban tetapi akhlak kita tidak seperti orang yang berjubah dan berserban. Kita “ustaz” tetapi kata-kata kesat seperti anak haram, celaka, pelaq dan sebagainya menjadi kalimah lazim di bibir kita sedangkan kalimah lazim yang sepatutnya adalah kalimah kalimah istighfar dan sebagainya.
Kita sentiasa bertakbir setiap kali ingin menyatakan sokongan kepada apa yang didengari tetapi adakah kita menunaikan apa yang diturut oleh kalimah takbir itu sendiri.
Para sahabat Rasulullah saw juga bekerja mencari rezeki seperti kita tetapi mereka akan tegak di barisan hadapan setiap kali seruan jihad kedengaran. Bagaimanakah kita? Kita pula akan berfikir ligat bagaimana mahu mengelak untuk hadir ke program-program jemaah dan biasanya kita akan menjadikan kesibukan bekerja sebagai suatu alasan mudah untuk menghalalkan keengganan kita itu. (sumber : mujahideen muda/albanjari)
No comments:
Post a Comment