Salam Kamunting,
Seorang politikus di Malaysia sering diumpamakan bagai katak dek kesukaannya melompat parti. Kemudian segelintir mereka pula ada yang diumpamakan bagai sang tupai akibat dicekup BPR dan polis dek pecah amanah, rasuah dan pelbagai jenayah lagi. Kedua - dua pelabelan ini adalah buruk dan tidak disukai empunya diri.
Jarang sekali lompatan kijang diterjemahkan dalam perumpamaan. Ia merujuk kepada lompatan yang hebat dan aksi menarik. Di Kelantan, ia sinonim dengan skuad bola sepak negeri Kelantan. Tetapi oleh kerana skuad Kelantan ini sering beraksi lemah dan tidak konsisten, peminat agak malu - malu menjaja nama kijang untuk pasukan mereka itu.
Dalam dunia politik negara, jarang berlaku anggota parti kerajaan melompat parti kepada parti pembangkang. Yang biasa berlaku adalah lompatan anggota daripada pembangkang kepada parti yang memerintah. Oleh kerana lompatan itu sering diiringi dengan perolehan habuan harta dan pangkat, sang pelompat itu pasti akan dilabel dengan perumpamaan yang buruk - buruk. Antaranya katak.
Sementelahan pula pemerintah negara telah diterima umum sebagai pemerintah yang zalim, korup dan penuh penyakit, maka umum menerima perbuatan melompat parti sebagai satu aktiviti buruk dunia politik tanah air.
Selepas pilihan raya umum ke 12 tahun lepas yang menyaksikan arasy pemerintahan kerajaan BN goncang dengan kekalahan yang besar, tiba - tiba cerita lompat parti menjadi buah mulut awam, bahkan menjadi harapan yang diimpikan rakyat. Mereka berlopongan menanti aksi lompat daripada parti pemerintah berlaku, bahkan kalau boleh lompat itu biarlah tinggi - tinggi dan beramai - ramai.
Inilah lompatan kijang. Lompatan yang hebat kerana ia akan menyebabkan kerajaan semasa yang zalim runtuh dan diganti kerajaan baru yang dipercayai kecondongannya untuk melaksanakan keadilan sejagat.
Tetapi ia tidak berlaku. Hampir tiada pemimpin peringkat tertinggi BN melompat tinggi untuk aksi hijrah agung dan tiada wakil - wakil rakyat BN melompat beramai - ramai untuk bersama parti - parti dalam Pakatan Rakyat yang menguasai beberapa negeri dalam persekutuan Malaysia.
Harapan menjadi kendur. Seorang pemimpin kanan PAS telah dengan berani mencetus kemarahan awam apabila meminta rakyat menerima hakikat bahawa menukar kerajaan dengan aksi lompat adalah sukar sekali. Paling parah, ia diibarat bagai angan - angan mat jenin.
Itu telah berlalu dan perasaan sukar itu terpaksa ditelan.
Ia payah berlaku di seluruh negara. Hanya Kelantan yang biasa sangat menyaksikan lompatan kijang dalam persada politik tempatan. Penghijrahan ahli UMNO kepada PAS adalah biasa sejak dulu. Hasilnya, selepas 12 tahun diperintah BN, PAS kembali menguasai Kelantan dan kekal hingga kini menghampiri tempoh 20 tahun. Sebabnya, lompatan kijang terus berlaku di sana - sini di Kelantan.
Saya dikhabarkan dalam tempoh terdekat ini, satu angka mencecah ribu daripada pemuda UMNO Kelantan akan melakukan aksi lompatan kijang meninggalkan UMNO berama - ramai untuk masuk PAS. Jika ini berlaku, ia pasti hebat untuk menyusuri aksi lompatan kijang anak - anak muda dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru - baru ini yang menyaksikan UMNO tumbang di hampir seluruh saluran peti undi golongan muda. Wah, tahniah!
Kekal dalam kegelapan atau berhijrah daripada kegelapan kepada kegelapan adalah aksi duniawi yang biasa dilihat. Tiada apa yang hebat. Ia mainan nafsu dan keseronokan sementara yang dialpakan akibatnya. Itulah manusia kebanyakan di dunia ini.
Adapun kekal dalam cahaya atau hijrah daripada kegelapan kepada cahaya, maka ia adalah sesuatu yang hebat. Kekal dalam cahaya adalah cerita kemanisan hasil kesabaran dan istiqamah, manakala bergerak kepada cahaya daripada kegelapan pula adalah cerita kemanisan hasil keberanian dan pengorbanan.
UMNO gelap kerana diselubungi kezaliman. Nabi kita sallaLlahu alaihi wasallam mengumpamakan kezaliman itu adalah bagai kegelapan yang berlapis - lapis. Oleh kerana UMNO jenis tak pakai ajaran nabi, maka mereka tidak sedar segala kezaliman yang mereka lakukan itu menambahkan lagi pekat kegelapan yang menyelubungi mereka.
Oleh kerana kegelapan malam itu menjadi sarang maksiat dan keseronokan noda dan dosa, ramai manusia yang tidak kisah untuk terus kekal dalam gelap, bahkan terjun ke dalamnya dek keseronokan duniawi yang ada padanya. Demikian, tidakkah kita diminta berlindung dengan Allah daripada kegelapan malam apabila ia merangkak?
Apabila melakukan kezaliman sudah mula sendat di jiwa dan mula menjadi kemanisan dan keseronokan, maka ia telah sampai ke kemuncak yang paling ditakuti. Tidak ada lagi yang boleh memalingkannya ke belakang untuk kembali. Ia dirundung ketagihan untuk terus berlaku zalim. Bagaimana ingin kembali? Atau lompat?
Bagai asap keretek yang disedut ke dalam. Ia tersedak di paru - paru dan di jiwa juga dek kegelapan perkhabaran yang dibawanya. Samada anda berhenti menyedutnya atau dengan terus mencuba keseronokannya, anda akan ditimpa ketagihan asap yang menjadikan anda pasrah dan rela mati demi mempertahankan asap gulita itu. Saat itu anda telah kelam di kemuncak yang ditakuti junamannya. Bagaimana ingin kembali?
Bagaimana lompat kijang?
Kita ini manusia. Manusia diciptakan dengan keajaiban dan kesempurnaan ciptaan tanganNya. Antara keajaiban ciptaan tuhan dalam dirinya adalah kesediaan hati jantungnya untuk kembali walau apa keadaannya. Antara kesempurnaan nikmat tuhan di luar dirinya untuknya adalah pintu kembali yang terbentang luas selama - lamanya sebelum matinya.
Hati jantung yang berdegup - degup dalam pencariannya terhadap al haq dan pintu taubat yang terbentang luas menanti kembalinya.
Setiap manusia disapa rahmat tuhan sepanjang masa dan pada detiknya ia bagai satu ketukan yang menyedarkan. Samada manusia meladeninya dengan baik dan menyungguhinya, lalu dia menikmati sapaanNya itu dengan penuh laba, atau dia membiarkannya berlalu pergi tanpa terima kasih, lalu dia terus dijunamkan ke lubang kesesatan yang lebih dalam.
Manusia memilih untuk dirinya sendiri.
Manusia jarang bersyukur dan jarang sekali mengaku salah. Dosanya menyombong tinggi mengatasi tunduk bongkok pahalanya. Jika dia kembali dan bertaubat, itulah kemuliaan manusia yang dipuji tuhan dan dibenci iblis.
Hari ini kita menyaksikan beberapa aksi lompat daripada parti pemerintah kepada pembangkang berlaku. Mula berlaku. Ia ditunjangi kesedaran untuk menolak kezaliman dan kebobrokan dalam politik pemerintah. Ia baru. Seperti kata saudara Roslan SMS, lanskap politik negara sedang dilukis semula.
Jika benar bagai dikata, hujan telah serik dan katak sepi melompat. Dahan mula kering dan patah, tupai acap jatuh ke tanah. Semoga kijang keluar hutan memperaga aksinya.
No comments:
Post a Comment