Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    11 years ago

Friday, January 30, 2009

MENCARI ROH PAS DALAM PKR


Oleh : Azizi Abdullah

http://aziziabdullah.blogspot.com/


Saya bukan nak cari gaduh atau melontar benci terhadap Pas atau PKR. Saya sekadar melahirkan kegelisahan agar kita sama-sama berfikir.

Jangan anggap tulisan begini tulisan yang hendak meruntuhkan mana-mana pihak. Apa yang hendak dirisaukan kalau kita sendiri mendakwa kita kuat.

Setelah kembali dari Kuala Terengganu, selepas sebahagian besar anak-anak muda yang memegang bendera Pas berkeliling Bandaraya Kuala Terengganu, bersorak-sorak menaiki motosikal, saya dibalun tanda tanya, apa ertinya PKR dan apa ertinya Pas. Saya teringat empat negeri, iaitu Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Negeri ini selalu mendakwa pemerintahan PR.

Sampai hari ini kepala saya dibalun dengan tanda tanya ini.

Memang benar sebelum menang kita melihat semua parti dalam PR bekerjasama. Dua malam sebelum mengundi saya dengan kawan-kawan berada di Ibu Pejabat PKR di tengah bandar. Beberapa tokoh PKR (tidak ada pun dari Pas) merengkuh habis berkempen untuk memenangkan Wahid Endut dan melecehkan Wan Ahmad Farid.

Benarlah, PKR kerja kuat. Tetapi di tempat lain Pas juga saya dapati bekerja kuat. Ternyata ‘rumah-rumah’ wakil setiap negeri yang saya dapati ialah ‘rumah-rumah’ Pas. Entahlah barangkali saya tidak ketemu rumah-rumah PKR, tetapi kawan-kawan dari negeri lain, penyokong PKR turut menumpang di ‘rumah-rumah’ Pas.

Maka kemenangan malam itu, digemuruh dengan takbir dan usungan bendera yang saya sangat pasti 80 dari anak-anak muda Pas. Kemenangan calon Pas menjadi kebanggaan PKR dan YB Husam Musa, Naib Presiden Pas pasti akan menyebut nanti PKR lebih kerap dari menyebut Pas.

Saya sangat yakin, jika sokongan yang diberikan kepada Pas seperti di Kuala Trengganu, pemerintahan PR akan semakin kuat dan kalaulah orang seperti Wahid Endut berada di mana-mana kawasan PR, pastinya di tahun 2013, PR akan tambah kerusi.

‘Tidak!” tiba-tiba seorang kawan saya yang sejak dulu totok dengan Pas melenting menyanggah.

‘Memang dasarnya peperintahan PR. Bagus. Tapi hakikatnya bukan PR sebaliknya DAP di Penang, Pas di Kedah dan Campuran di Perak ,Selangor ++ dan Kelantan Pas totok.”

‘Jadi apanya, kenapa?’ saya sangat tertarik sanggahan kawan saya ini. Dia kurus melengkong macam lantai papan jambatan. Dan kemudiannya saya bersetuju dengannya.

Memang pun saya sangat bangga apabila PR dikatakan menguasai 4 negeri dan kini khabarnya telah membentuk ‘Majlis Menteri Besar.’

Tetapi bagi saya pembentukan itu tidak lebih dari satu pakatan mendahulu bangga dari hakikat kualiti sebagai pemerintah itu sendiri. Ia lebih merupakan berlunjur sebelum bersila. Ia lebih menggambarkan ‘berat rantai dari beruk.’ Bagaimana pun entahlah jika dari kaca mata politik, ia perlu.

Kebimbangan yang ‘paling’ besar bagi saya ialah apabila berpeluang menjengok ke dalam rumah pemerintahan PR dan bukan ‘kosmetik’ PR itu sendiri. Kemenangan Datuk Sri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh Ogos tahun lalu memang hebat, tapi ia tidak bererti jengukan kita ke dalam rumah PKR membanggakan.

Adun Penanti yang menjadi Timbalan Ketua Menteri mula diperkatakan dan kemudiannya tali TKM ditarik semula. Maka yang kuatnya dalam rumah PKR dalam pemerintahan PR ialah DAP.

Tak pun orang terfikir masa depan, setidak-tidaknya empat tahun lagi, apakah prestasi begitu akan memantapkan pemerintahan PR yang majoritinya DAP? Pas pun kena ambil peduli. Jangan asyik ber ‘Insyaallah’ saja.

Memang ini buruk sangka untuk masa depan ( seperti kata seorang pengulas blog terhadap saya) tetapi kita mesti membacanya juga untuk memperkasakan masa depan. Katakan saja YB dari PKR sangat lemah. Dalam hal ini orang tidak akan menuding jari kepada PR Pulau Pinang sebaliknya tentu kepada PKR Pulau Pinang.

Kedah ,Perak atau Selangor bagaimana?

Bacaan orang politik, Perak PR masih dan mampu bertahan tetapi majoriti komponen PR akan berubah. Kini tambah satu hasil dari lompatan YB Umno. Bagaimana pun calon DAP lebih menguasai walaupun tetap pemerintahan PR.

Bukan mustahil akan ada calon Melayu yang menjadi ahli DAP, kemudian bertanding dalam pilihanraya hanya semata-mata hendak memenuhi syarat seorang menteri besar mestilah Melayu dan beragama Islam. Ketika itu Menteri Besar dalam pemerintahan PR di Perak bukan dari Pas, tetapi dari DAP berbangsa Melayu/ Islam. Dan di Pulau Pinang mimpi ini tidak akan terjadi walaupun calon PKR hampir tepu mulut tempayan pemerintahan PR.

Mengenepikan Selangor, saya lebih merasa cuak terhadap Kedah.

Pas Kedah tetap kuat tetapi Pas Kedah mampukah menjadi pemerintah PR bagi penggal kedua tahun 2013 nanti?

Ada beberapa faktur yang PR Kedah patut merasa bimbang terhadap Pas Kedah, malah dalam PR Kedah, selain dari Pas, semacam ada duri dalam daging. PR tidak boleh berbangga dengan Pas Kedah dan Pas Kedah tidak boleh memberi jaminan kepada PR bahawa ia akan kekal atas nama Pas dalam pemerintahan PR.

Ini bukan satu hukuman atau satu tuduhan busuk. Semoga dengan andaian ini ( jika boleh dianggap andaian) Pas Kedah perlu muhasabah secara bulanan. Apa yang membimbangkan bukan pemerintahan Pas atau kerana nama Pakatan Rakyat, tetapi beberapa karenah dari tampuk yang digenggam oleh Pas sendiri.

Tertubuh kerajaan bukan kerana nama PR atau PKR atau Pas sebenarnya. Faktor yang besar ialah dari calon itu sendiri. Saya rasa kita kena kembali kepada persoalan ini. Kemenangan Wahid Endut bukan kerana calon Pas tetapi atas nama Pas, Wahid Endut menjadi calonnya, maka dia mendapat kredit kemenangan.

Memang perarakan anak muda malam kemenangan itu kerana Pas menang setelah PR bertungkus lumus selama sepuluh hari. Tetapi harus diingat, jika bukan Wahid Endut, Pas sukar menang dan PKR, DAP tidak akan lancar bercakap tentang calon Pas.

Maka sekali lagi saya menjadi fobia apabila memikirkan Kedah. Dengan faktor apa kemenangan yang kita harapkan jika bukan diri calon.

Rupa-rupanya selama ini rakyat sangat pandai memerhati dan menilai. Jika ada kebencian dan tidak suka, bukan kepada Pas atau PKR disalahkan, tetapi kepada individu yang telah melakarkan stailnya setelah dia diangkat menjadi orang penting dalam pemerintahan.

Kedah ada kelemahannya dan ini mestilah cepat-cepat disedari. Yang penting sesama anggota mesti belajar memahami antara satu sama lain. Yang perlu sedar, ketua pemerintah bukan seorang derebar teksi yang mencari penumpang, yang boleh beluk ke mana-mana, tetapi dia adalah derebar yang memuat penumpang yang mesti patuh kepada penumpang untuk sampai ke destinasinya. Ia berkewajipan menjaga teksi supaya dalam keadaan baik.

Drebar mestilah faham, jika dia membawa seorang arkitek, dia mestilah membawa arkitek itu ke pejabatnya, bukan membawa ke pejabat amanah saham. Jika penumpang itu seorang doktor, jangan bawa penumpang itu ke pasar raya. Tempat doktor di klinik atau hospital. Begitulah selanjutnya.

Saya tidak bimbang Lim Guan Eng, tetapi saya sangat bimbang Nizar. Alasannya mudah. Betapapun PR akan menguasai nanti, yang jelas Perak tidak lagi Nizar yang menjadi Menteri Besar. Apakah Pas tidak dapat membaca akan wujud calon Melayu dari DAP, hanya semata-mata untuk memenuhi tuntutan undang-undang negeri bahawa Menteri Besar mesti Melayu.

Tapi bagaimana Kedah? Jawabnya tentunya Umno sedang menunggu dan mereka bekerja keras kerana melihat kelemahan yang berlaku sekarang. Kelemahan kita bukan kerana Umno kuat, tetapi kita mencipta masalah sesama kita. Kita tidak fokus fikrah secara kolektif.

Kedah sekarang tidak menggunakan pemikiran dan cerdik pandai ahli Pas sama ada exco atau pegawai tadbirnya. Kedah, apa yang berlaku sekarang sedang dalam proses menafikan bijaksana pegawai tadbir dan cendekiawan orang Pas. Kita mengamal dasar: ‘Awak tahu apa. Awak bidang apa? Saya mahu ini, bukan itu.’

Kononnya, Kedah lebih senang berunding dan berpakat dengan mereka yang kononnya bijak dan berpengalaman tapi sayang tidak mempunyai tarbiah dan fikrah Pas. Kedah kononnya lebih menghormati orang bukan Pas. Pas Kedah semacam terlupa yang berkuasa ialah Pas, bukan orang lain.

Apakah jawapannya?

Jawapan yang mudah ialah, Umno sedang menunggu kelemahan pemandu kenderaan PR ini dan kebetulannya dari Pas. PR tidak akan rugi walaupun DAP yang menjadi komponen PR, tetapi Paslah yang akan menggigit jari.

Gaya kemenangan Kuala Terengganu sangat menyentuh. Mungkin ada solat hajat atau doa minta mana-mana kawasan kosong lagi.

No comments:

Related Posts with Thumbnails