Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    11 years ago

Sunday, December 7, 2008

Sejarah Parti Islam SeMalaysia


Menyusuri 57 tahun PAS di Malaysia
Oleh Roslan Shahir

Tanggal 24 November lalu genaplah 57 tahun usia Parti Islam Se Malaysia atau PAS.Ditubuhkan pada tanggal berkenaan dalam tahun 1951 di Seberang Perai, parti itu yang diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955 dengan nombor pendaftaran 733 (Penang) telah melalui transformasi yang tersendiri, dari sebuah parti kecil yang dipandang lekeh oleh penjajah British, kepada sebuah parti yang mampu menang kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan yang pertama dalam tahun 1955
dan kemudiannya menawan dua buah negeri dalam pilihan raya umum pertama Malaya Merdeka pada tahun 1959, dan kini sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang diwakili di setiap pelusuk tanahair dan diiktiraf pula diperingkat antarabangsa.PAS telah melalui perubahan nama dalam tempoh lebih lima dekad usianya dari Persatuan Islam Se Malaya (awal penubuhan), ke Persatuan Islam Se Tanah Melayu (30 November 1963) dan kini Parti Islam Se Malaysia (sejak 21 Jun 1977).
Dalam meniti usia yang demikian lama, PAS kini sudah berjaya bertapak dihati rakyat, dikenali dan diakui kehadirannya oleh setiap lapisan masyarakat dalam negara, Cina, Melayu, India dan lain-lain semuanya kenal dan mengetahui darihal PAS.
Dengan 3 orang Menteri Besar dan ADUN di setiap negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak PAS kini muncul sebagai satu tenaga politik yang disegani, dan dengan kerjasama politiknya melalui Pakatan Rakyat, PAS dan rakan-rakan kini merupakan alternatif yang sangat berupaya bagi mencabar Barisan Nasional diperingkat Persekutuan.
Sejarah politik dalam negara membuktikan tidak ada parti dibarisan pembangkang yang dapat bertahan dan kekal sebagaimana PAS. Parti Negara, Front Sosialis, IMP, MDU, NCP dan lain-lain semuanya berkubur, tetapi PAS terus benafas dan bergerak selari dengan arus perkembangan dan kemajuan rakyat dan negara.
Sumber ketahanan PAS yang memungkinkan ia terus bertahan dalam menghadapi serba kekangan, tekanan dan cabaran sudah pastilah kerana berpegang teguh pada Islam yang merupakan dasarnya sejak dari 57 tahun dahulu sehingga ke hari ini.
Allahyarham Hj Mohd Amin Yaakub, bekas AJK PAS Pusat (1979-87) di dalam bukunya "Sejarah pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990" menyebut bahawa hukum tertinggi dalam PAS adalah kitabullah dan sunnah rasul serta qiyas dan ijmak.
Ini termaktub dan terus kekal dalam perlembagaan PAS sejak tarikh tertubuhnya iaitu pada Fasal 4(1) perlembagaannya dan sejak 1993 beralih ke Fasal 7(1), Cuma beralih pada nombor fasal namun semangat dan pegangannya terus kekal tanpa berubah atau diubah.
Inilah asas yang membezakan PAS dengan parti siyasah lain dalam negara dan inilah juga kekuatan yang terus kekal membawa PAS sepanjang 57 tahun usianya sehingga ke hari ini dan insya-Allah sampai bila-bila.
Yang berubah adalah pemimpin, apabila ada pimpinan yang mahu membawa PAS lari dari arus Islam ke arus yang lain, termasuklah kebangsaan umpamanya, yang akan tergelincir keluar bukanlah parti tetapi pemimpin itu sendiri.
PAS pernah melihat Presidennya, Setiausaha Agungnya dan pimpinan lain diberbagai peringkat lari meninggalkan PAS, namun parti ini terus kekal digantikan dengan pemimpin yang baru.
Presiden atau ketika itu Yang Dipertua Agung PAS yang pertama adalah Tuan Hj Ahmad Puad Hassan (1951-54) yang kemudiannya meninggalkan PAS kerana mahu bersama Dato Onn. Kemudiannya digantikan Dr Hj Abbas Illias (1954-56).
Diikuti Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy (1956-66), Dato Asri Muda (1966-82) yang meninggalkan PAS untuk menubuhkan parti baru Hamim dan kemudiannya menyertai Umno, Tuan Hj Yusoff Rawa (1982-89), Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor (1989-2003), dan kini Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
PAS merupakan parti Islam yang meneruskan perjuangan parti Islam yang pertama di negara ini, iaitu Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. PAS bukan hanya membawa dasar perjuangan parti ini malah menurut John Funston, pimpinan terkanan PAS pun ketika itu terdiri dari pimpinan Hizbul Muslimin belaka.
Demikianlah PAS jatuh bangun, menang dan kalah, bertahan menghadapi cabaran dan pancaroba sehinggakan terdapat usaha menggugurkan "Islam" yang ada pada namanya, namun PAS terus kekal, berkat doa dan pengorbanan para ulamak dan mereka yang ikhlas dalam perjuangan dan hari ini ia telah mencecah usia 57 tahun.
Inilah PAS, Parti Islam, yang telah berjaya melahirkan pimpinan yang dikagumi rakyat, pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah, segalanya lantaran berpegang teguh pada Islam yang diperjuangkannya. Darah dan airmata mereka yang terdahulu telah ditumpahkan ke bumi bagi melahirkan PAS yang ada yang kita warisi pada hari ini.
Oleh itu berpijak pada bumi yang nyata, junjuglah dasar dan prinsip perjuangan yang sama-sama kita pertahankan ini. Ada di antara kita yang bertarung awal atas gelanggang PAS ini sudah tiada bersama kita, malah ada yang ditemani oleh burung-burung hijau di syurga menunggu kita, janganlah kita persiakan apa yang telah dibina ini.
Bahawasanya dengan sesungguhnya adalah disiytiharkan demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SE MALAYSIA", demikianlah mukaddimah perlembagaan PAS, sama-samalah kita pertahan dan perjuangkannya.
Alfatihah kepada mereka yang telah mendahului kita, Alfatihah.
(Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS)_

No comments:

Related Posts with Thumbnails