Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    3 years ago

Thursday, December 25, 2008

Sheikh Zubir al-Filfulani: Ulama pengasas PAS

Mohd Fadli Ghani
Thu | Dec 25, 08 | 1:04:08 pm MYT

TOKOH pendidikan Islam yang terkenal di negara ini, Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani, masyhur kerana pernah menjadi Mudir Madrasah Darul Ulum, Makkah dan kemudian memimpin Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan.

Beliau ialah salah seorang ulama yang menjadi pengasas PAS ketika majlis penubuhan PAS di Butterworth pada 24 November 1951 dan pernah bertanding dalam pilihan raya atas tiket PAS pada 1959 di Perak.

Namun begitu, di kalangan pengkaji, nama Sheikh Zubir lebih dikenali sebagai tokoh pendidikan berbanding sebagai seorang ulama PAS. Gelaran al-Filfulani yang dilaqabkan pada namanya itu bermaksud beliau berasal dari Pulau Pinang.

Sheikh Zubir bin Ahmad Ismail bin Ibrahim bin Muhammad Nor telah dilahirkan di Pulau Pinang pada 1905. Ketika berusia tujuh tahun, beliau mula mendapat pendidikan agama secara formal di Madrasah Islamiah, Pulau Pinang dan akhirnya menjadi pelajar di Madrasah al-Mashoor al-Islamiah, Pulau Pinang pada 1920.

Di madrasah ini, beliau menerima sentuhan ilmu daripada ulama-ulama terkenal seperti Sheikh Abdur Rahman Firdaus al-Makki, Sheikh Muhammad Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Sheikh Abdullah al-Ghadamsi al-Maghribi, Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Falaki dan Sheikh Husein Rafi'. Selepas empat tahun di madrasah ini, beliau berhijrah ke Makkah pada 1924 kerana menyambung pengajian di sana dan tinggal bersama Sheikh Qadhi Ahmad al-Qari.

Di Makkah, Sheikh Zubir belajar di Madrasah Hashimiah Syarif Hussin bin Ali selama setahun di bawah bimbingan Sheikh Umar Ba Juneid, Sheikh Jamal al-Maliki, Sheikh Habibullah asy-Syanqithi, Sheikh Muhammad Zaidan asy-Syanqithi dan Sheikh Umar Hamdan al-Mahrasi. Setahun kemudian, beliau memasuki pula Madrasah Shaulatiah al-Hindiah yang terkenal itu sehingga 1930 dan mendapat Syahadah Nihayah.

Antara guru-guru beliau di madrasah ini ialah Sheikh Salim Rahmatullah, Sheikh Mahmud Arif al-Bukhari, Sheikh Abdul Latif al-Qari, Sheikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Sheikh Mukhtar Makhdum dan Sheikh Abdullah al-Bukhari. Dalam masa yang sama, beliau turut menadah kitab di Masjidil Haram di bawah tunjuk ajar Sheikh Sa'id bin Hasan Yamani, Saiyid Abdullah Shalih az-Zawawi, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Saiyid Shalih Syatha, Sheikh Muhammad al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi.

Selepas tamat belajar di Madrasah Shaulatiah, Sheikh Zubir mula mengajar di rumahnya dan juga di Masjidil Haram sehingga 1933. Ketika itu, seorang agen perisik British yang menjadi Pegawai Haji, Abdul Majid Zainuddin telah melancarkan propaganda perkauman kepada pelajar Melayu, khususnya di Madrasah Shaulatiyah. Madrasah Shaulatiyah adalah pusat pengajian ulamak-ulamak India yang kebanyakannya anti-British dan Abdul Majid Zainuddin bertugas memantau perkembangan nasionalisme orang Melayu di madrasah ini. Akhirnya, dengan propaganda Abdul Majid Zainuddin, beratus pelajar Melayu meninggalkan madrasah ini kerana tidak mahu belajar dengan guru India. Atas dorongan Abdul Majid Zainuddin, Sheikh Zubir bersama Sayyid Muhsin Ali al-Masawi, seorang ulamak berasal dari Indonesia telah mengasaskan Madrasah Darul Ulum di Syuib Ali, Makkah pada 1933.

Pada mulanya Sheikh Zubir menjadi Naib Mudir madrasah ini, tetapi ekoran kematian Sayyid Muhsin pada 1935, Sheikh Zubir menjadi mudir selama lima tahun. Selain menjadi mudir di sini, beliau turut menaburkan ilmu di Masjidil Haram dan mempunyai murid yang ramai. Pada 1937, Sheikh Zubir turun ke Tanah Melayu bersama Kiyai Abdul Rashid Sidek dari Palembang untuk mengutip derma bagi membangunkan Madrasah Darul Ulum dan juga Madrasah Zarbayah Ain, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Sheikh Zubir juga terlibat secara langsung dalam majlis penubuhan Madrasah al-Ulum asy-Syar�iyah, Batu 20, Bagan Datoh pada 1937 iaitu institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh bapa bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Hassan Adli. Pada 1940, Sheikh Zubir telah kembali ke Tanah Melayu dan mengajar sementara di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang, kemudian berhijrah ke Perak.

Madrasah pertama yang beliau mengajar di Perak ialah Madrasah al-Ulum asy-Syar�iyah, Batu 20, iaitu madrasah yang beliau sendiri asaskan bersama Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh. Sepanjang zaman Jepun, Sheikh Zubir menjadi Wakil Mudir madrasah ini dan mula berpindah ke Masjid Tinggi pada 1946 iaitu mengajar di Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah yang ketika itu dikendalikan oleh Ustaz Abdul Rahman Mohd Arshad (abang Ustaz Hassan Adli). Shiekh Zubir dikatakan pernah menjadi mudir di madrasah ini selepas Perang Dunia Kedua. Antara murid beliau yang terkenal di madrasah ini ialah Ustaz Datuk Hassan Adli Mohd Arshad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.

Pada 1948, Sheikh Zubir telah diminta oleh Sultan Perak untuk menjadi mudir di Madrasah Idrisah setelah Sheikh Abdullah Fahim meletakkan jawatan. Sheikh Zubir merupakan antara mudir madrasah ini yang paling lama dan paling terkenal kerana beliau memimpin madrasah ini sehingga 1975 iaitu selama hampir 28 tahun. Ketika zaman beliaulah, Madrasah Idrisiah memprkenalkan Kelas Tujuh, Kelas Lapan dan akhirnya Kelas Thanawi Rabiie.

Di samping aktif dalam dunia pendidikan, Sheikh Zubir adalah ulamak progresif yang sentiasa mahukan kerajaan Islam ditegakkan. Ini tergambar dalam kata-kata aluan buku �Suluh Kemajuan (1952)� tulisan Sheikh Abdul Karim Othman as-Sarawaki. Beliau menyebutkan, �Maka orang-orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran-ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati.

Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menggerakkan dan menyedarkan umat-umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kala.� Itulah harapan dan kesedaran beliau terhadap kepentingan menubuhkan negara Islam.

Kerana kesedaran ini, Sheikh Zubir ketika berada di Masjid Tinggi telah menjadi tenaga penting dalam gerakan Hizbul Muslimin semenjak 1947 sehingga parti itu dilumpuhkan oleh British pada Ogos 1948. Sebagai Mudir Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Sheikh Zubir bergiat cergas dalam LEPIR iaitu badan pendidikan Hizbul Muslimin.

Pada akhir 1947, LEPIR telah menubuhkan Pusat Pentadbiran Sekolah-sekolah Rakyat dan Sheikh Zubir diberikan kepercayaan sebagai pengelola pusat ini. Walau bagaimanapun, kerana keuzuran, pada awal 1948 beliau melepaskan jawatan ini, tetapi guru-guru dan pelajar di Masjid Tinggi dan Selinsing seperti Ustaz Abdul Wahab Nor (bekas Pesuruhjaya PAS Perak), Abdul Raof Nor, Mohamad Abbas, Mohd Nor Mokhtar, Abdullah Hakim dan lain-lain terus digalakkan bergiat cergas dalam Hizbul Muslimin sehingga beberapa di kalangan mereka ditahan oleh British pada 1948.

Setelah Hizbul Muslimin terkubur, Sheikh Zubir menumpukan perhatian kepada tugas barunya di Madrasah Idrisiah, tetapi tetap berjuang untuk menegakkan negara Islam. Sebagai bukti komitmen beliau, pada 24 November 1951, Sheikh Zubir telah menghadiri Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya yang akhirnya berjaya menubuhkan PAS.

Ketika ini, Raja-raja Melayu mempunyai hubungan yang agak tegang dengan para ulama kerana desakan untuk menyatukan pentadbiran agama. Sheikh Zubir selaku mudir sebuah madrasah yang dikawal oleh Sultan Perak menghadiri persidangan ini sebagai wakil bebas. Dalam pilihan raya umum pertama pada 1959, Sheikh Zubir telah dicalonkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Bagan Datoh tetapi beliau tewas. Selepas pilihan raya ini, beliau tidak lagi menjadi calon kerana kedudukannya sebagai mudir di madrasah tersebut.

Walau tidak menjadi calon, Sheikh Zubir terus memberikan komitmen kepada PAS dengan menjadi penasihat dan tempat rujukan dalam pelbagai isu agama. Setelah bersara sebagai mudir Madrasah Idrisiah pada 1975 dalam usia 70 tahun, Sheikh Zubir hanya memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah di masjid dan tidak lagi cergas dalam politik.

Pada 1984, dalam usia 79 tahun, Sheikh Zubir bin Ahmad al-Filfulani, seorang ulama yang banyak berjasa kepada tanah air telah kembali ke rahmatullah.- tajdid _


Dipetik daripada harakahdaily.net

No comments:

Related Posts with Thumbnails