Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    10 years ago

Tuesday, March 3, 2009

CATATAN KENANGAN SDR ZULKIFLI MAN & ZUL SPEK



‘hidupnya insan tiada yang abadi menunggu saat panggilan azali,hilanglah nafas tak bergerak lagi tanah perkuburan kita bersemadi’

Ya tuhan

Ya Allah

Ya Rahman ampuni kami….


Sdr Zulkifli Man teman saya antara yang saya panggil untuk sama-sama duduk dalam AJK penaja PAS caw. TBR Teratai. Ketika itu PRU 2004 baru selesai dan saya baru sahaja berpindah ke Apt Teratai Tmn Bunga Raya. Abg Kadir minta saya tubuhkan PAS Caw Apt Teratai.Saya agak berat untuk menubuhkan cawangan kerana saya lebih selesa sekiranya saya bergerak atau menjadi ahli PAS cawangan Anggerik Timur. Namun semacam ada desakan dari kepimpinan Zon Bukit Beruntung agar cawangan ditubuhkan juga dan perlancaran tujuh cawangan di sekitar Bukit Beruntung/Bukit Sentosa akhirnya menjadi kenyataan pada 15 April 2004. Malam itu saya berada dipentas bersama-sama dengan Dato Dr Hasan Ali,Pesuruhjaya PAS Selangor. Dato Hasan memuji walaupun PAS kalah di Selangor tapi kalangan anak muda di Bukit Beruntung/Bukit Sentosa berjaya menubuhkan beberapa cawangan.


Sejak itu siang mencari rezeki malam bersama jamaah bukan asing lagi. Wang gaji bukan lagi menjadi perkiraan untuk sesuka hati berbelanja atau menabung. Ramai kalangan sahabat yang diuji dan teruji. Ada yang jatuh dan bangun semula dan ada yang hilang dari ikatan jemaah. Inilah kerja Islam yang dipikul oleh para nabi,para rasul,para ambiya..mereka tiada pengikut yang ramai. Namun begitu Allah Taala tidak pernah rugi walau satu sen pun. Mereka yang rugi adalah mereka yang telah diberi faham oleh Allah tapi memilih jalan menyisihkan diri dari jemaah.

Saya kerap terfikir hidup yang tidak lama ini. Saya membaca sirah dan merasai betapa cukup payah dan sukar nabi,para sahabat menggerakkan dakwah. Saya cukup insaf bahawa Allah Taala tidak akan memberi syurga secara percuma tanpa kita bersama berjuang dan membantu mereka-mereka yang tertinggal. Apakah nasib kita nanti? Alam kubur adalah permulaan untuk penentuan kepada kita sama ada bahgia atau celaka buat selama-lamanya.


Buat allahyarham Zulkifli Man,saya menghargai sumbangan beliau kepada cawangan TBR Teratai.

TBR Teratai adalah cawangan yang naïf. Hanya dua tiga kerat saja yang sanggup kedepan.

Tiada siapa berminat bersama-sama berjuang lebih jauh. Tiada siapa berminat merebut ketua cawangan.

Semua orang tahu tiada apa-apa projek dari PAS cawangan sebaliknya ahli-ahli yang diminta menginfak!

Saya sendiri bergerak mengikut perkiraan poket.

Allahyarham Zulkifli Man walaupun tidak aktif tapi sedia hadir ke AGM Cawangan, AGM Pemuda dan AGM Kawasan dan tidak mengecewakan saya. Tahun 2007 beliau ditugaskan sebagai pengerusi majlis untuk AGM Cawangan ke 2(lihat gambar). Dalam majlis itu beliau tersasul dan ditegur oleh Tn Hj Wahid kerana menyebut Tn Hj adalah Ketua PAS Bahagian Hulu Selangor. Hj kata dalam PAS takda bahagian tapi kawasan. Beliau seorang yang rajin bersembang dan peminat Ust Sharir Long. Keluarga mualaf tingkat empat beliau selalu bantu,itu yang saya tahu.

Pada hari raya haji tahun yang lepas ketika berada dimajlis korban di surau Apt Teratai, beliau mengadu keadaan ulu hatinya yang ber’angin’ kepada Ust Isa dan bertanya sekiranya ada tukang urut. Ust Isa menegur bahawa itu bukan kerana ‘angin’ tapi mungkin ada masalah pada hati. Petang itu beliau ke Hospital Kuala Kubu dan dirujuk pula ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut. Beliau ‘sangkut’ di Hospital Selayang wad 10D tak salah saya selama dua minggu. Dia disahkan mengidap penyakit hati. Ramai teman sekerja yang menziarahi pada masa itu termasuk S/U PAS Hulu Selangor Tn. Hj Idris. Beliau bercerita pada saya Tn Hj Idris telah menghadiahkan sebuah buku kepadanya dan Tn Hj kata itulah buku yang dibacanya ketika berada di wad semasa ditimpa penyakit denggi. Allahyarham kata beliau terharu dan sebak kerana Tn Hj walaupun tidak rapat dengannya namun sudi menziarahinya. Itulah sikap ahli PAS yang sejati dan saya malu kerana tak sempat menziarahi Tn Hj Idris ketika beliau berada di wad.

Saya teringat semasa saya melawat Allahyarham di wad,saya lihat seperti sesuatu yang ditulis oleh Allahyarham pada beberapa helaian kertas.Saya menegur dan bertanya adakah itu surat wasiat. Saya bergurau dan berkata ‘lambat lagi nak mati’ ketika beliau meminta borang khairat kematian. Di Apt Teratai saya menubuh dan mengelolakan tabung khairat kematian. Saya jalankan perkara ini setelah ‘orang lama’ tidak amanah.Kadang-kadang bila berlaku kematian di Apt Teratai ianya satu ‘point’untuk saya datang lewat ke tempat kerja hingga disindir bos.

Apabila keluar wad,fizikal Allahyarham makin merosot. Beliau terpaksa pantang makan dan minum. Banyak sangat yang tidak boleh dimakan daripada yang boleh. Saya lihat keadaan perut beliau yang makin membusung,bahagian muka yang cengkung,maka yang kuning dan pucat. Cara beliau bersembang masih lagi ceria dan jenaka Cuma beliau mengadu sukar bernafas kerana bahagian paru-paru yang berkongsi dengan air.

Akhirnya pada hari terakhir semasa shif malam,tak salah 20 Feb beliau dikejarkan ke Hospital Selayang kerana sesak nafas. Beliau berada di wad yang sama 10D. Kali ini bernafas mengunakan topeng udara. Fadzlan bagitau saya keadaan allahyarham agak teruk kali ini. Beliau kata sekiranya ingin melawat jangan datang bersama teman yang ramai kerana allayarham akan berusaha untuk bersembang walaupun dalam keadaan sesak nafas. Pada esoknya Rabu 25 Feb saya pergi bersama Mazuan S/U Teratai, Syukri dan Man spek. Amri S/U Zon sudah sedia menanti dipintu masuk hospital. Sebaik sampai beliau sudah dipindahkan ke HDW tingkat 5 sebelah wad ICU. Ramai teman-teman sekerja yang menziarahi dan ketika saya bertemu dengan beliau,beliau masih sempat mengangkat tangan dan tersenyum walaupun dalam keadaan sesak nafas.

Saya berpesan kepada Hasnan–isteri beliau yang bekerja di hospital Selayang, sekiranya apa-apa berlaku pada allahyarham sila maklum pada saya. Pada hari Sabtu sekitar jam empat petang Hasnan talipon saya memaklumkan keadaan allahyarham yang semakin tenat. Pihak hospital meminta supaya ahli keluarga mula membaca yasin.

Saya ke hospital bersama isteri dan berjumpa beberapa kenalan yang sudah sedia menunggu dipintu wad. Saya beratur dan menunggu giliran. Tidak lama selepas itu keluarga allahyarham keluar sambil menangis memberitahu bahawa Zul telah tiada. Saya meluru masuk bersama beberapa orang teman. Saya terkenang dengan tarikh ini,28 Feb dimana pada tarikh yang sama ibu saya pergi buat selamanya pada ketika waktu yang hampir sama juga sekitar 5.40 petang. Peristiwa itu seakan berulang!

Saya berhubung dangan waris allahyarham untuk membantu. Ayah allahyarham yang masih berada di kampong (Kedah) meminta supaya urusan pengkebumian diselesaikan pada malam itu juga. Saya melaporkan kepada Pengerusi Surau dan bersetuju.

Semua urusan lancar cuma van jenazah agak lewat sampai. 8.30 malam van sampai dan kami bertolak dari bilik mayat hospital Selayang ke Bukit Beruntung dalam hujan lebat.

Jam 9.30 malam sampai di Surau Abu Othman Ali Bashah. Semua kenalan sudah berkumpul dan orang agak ramai sekali. Saya turut membantu memandikan jenazah allahyarham bersama saudara Nizam Rahim (naib ketua/pemuda kaw) dan ahli kariah.

Sekitar jam 11.00 malam jenazah dibawa ke kuburan dan semua urusan telah selesai jam 1.30 pagi. Ramai teman sekerja, ahli PAS Apt Anggerik, S/U Kaw, Ust Wan turut berada sama.

Pagi esoknya AGM Cawangan TBR Teratai selamat diadakan dan dirasmikan oleh YDP Kawasan.


Catatan oleh,

hidup_berjuang

2 Mac 2009

10.50 malam.



No comments:

Related Posts with Thumbnails