Oleh :Ustaz Idris Ahmad
SEORANG blogger memberitahu saya, "Ustaz sekarang kalau tulis hentam Umno dan penyelewengan kepimpinan Umno/BN... tak mendapat respon baik daripada pembaca. Sebaliknya, kalau dedahkan rahsia parti dan hentam pimpinan PAS, ini yang dapat tempat dan tumpuan".
Maka saya menjawab kepada beliau begini, "Inilah akibatnya kita asyik duduk hentam pemimpin PAS, walaupun kononnya sayang kepada PAS. Inilah akibatnya".
Seperti mana saya sebutkan dalam tulisan yang lepas, walaupun penulis blog itu kononnya simpati dengan PAS, tetapi dia kritik secara terbuka melalui laman web, bukan melalui salurannya, akhirnya PAS sudah kehilangan faktor 'Wow' yang dulunya Umno mengalami masalah ini. Sekarang musibah ini sedang menimpa PAS, terutama di gerbang maya.
Orang atas pagar, dia tidak mengatakan bahawa apa sudah jadi dengan si anu dan si anu. Sebaliknya yang mereka sebut ialah apa sudah jadi dengan PAS? Teruk sangatkah PAS? Kenapa hal dalam rumah tangga bertelagah dipaparkan dekat media? Kenapa pemimpin PAS tidak berdisiplin dalam mengeluarkan kenyataan akhbar?
Akhirnya, yang buruk ialah PAS bukan individu dalam PAS. Sekarang bukan senang kita hendak mencipta 'faktor wow' yang dulunya berada di kaki kita, tetapi sekarang telah beralih kepada Umno.
Orang lupa isu PKFZ yang lesapkan wang rakyat RM12.5 Bilion. Isu siapa pembunuh Altantunya. Macam mana rekod kemasukan Altantunya boleh terpadam? Kenapa tidak ada siasatan sampai ke lubang cacing, siapa yang padam?
Bukankah Malaysia ini antara yang hebat dan cekap untuk menangkap penjenayah. Polis Malaysia juga hebat dengan pakar-pakar forensik sudah tentu ia mampu untuk melakukan semuanya ini. Siapa yang memadamkan data ini mesti dicari. Kalau gagal dalam isu ini bermakna negara berada diambang merbahaya apabila rekod kemasukan seseorang ke dalam negara ini boleh hilang.
Kemana pergi Balasubramaniam yang menjadi penyiasat persendirian melarikan diri? Sedangkan beliau adalah saksi yang paling penting dalam kes Altantunya. Kenapa orang tidak peduli dengan kenaikan harga minyak RON 97 dulu RM1.75 sen naik sampai RM2.05 sen? RON 95 yang rakyat marhain pakai tidak berkualiti harganya RM1.80 sen.
Isu tidak ada bonus yang dituntut oleh kakitangan kerajaan, macam mana? Isu stadium negeri Terengganu runtuh yang melibatkan wang rakyat hampir RM300 juta hilang begitu sahaja dariapda rakyat.
Orang tidak peduli apabila seorang Menteri Besar dituduh bawa wang keluar negara sebanyak RM10 juta. Isu pengkhianatan terhadap rakyat Kelantan mengenai wang ihsan menggantikan royalti adalah lambang 1Malaysia yang bohong 1Malaysia dan menindas 1Malaysia.
Kesemuanya sudah hilang kerana selain daripada media perdana seperti TV dan radio dan sekarang ditambah pula dengan tulisan yang memburukkan PAS sama ada oleh musuh atau oleh orang yang kononnya terlalu sayang dengan PAS, sampai pecah komputer untuk tulis semua masalah dalaman PAS dalam gerbang maya.
Maka ia merasakan puas kerana dia sudah berjaya mangharubirukan PAS sehingga ahlinya hilang fokus, dan rakyat atas pagar melarikan diri daripada PAS. Hanya Allah sahaja yang akan membalas kerja mereka ini.
Sekaranglah masanya untuk kita fokos kerja buat kita untuk jangka panjang dan jangka pendek menghadapi PRU 13. Setiap orang mesti merasakan beliau ialah batu bata yang melengkapkan sebuah rumah.
Sebiji bata kalau letak di tengah jalan ia tidak menampakkan fungsinya. Tetapi berlainan apabila ia telah diikat menjadi satu bangunan yang kukuh dan sukar untuk diroboh. Kalau roboh pun, ia akan memberi mudharat kepada orang lain. Kita jangan menjadi anai-anai dalam jamaah sehingga merobohkan sebuah bangunan yang kukuh.
Strategi kita dalam PRU 13 mesti bermula daripada sekarang. Kita mesti menang bukan kerana bergantung kepada kelemahan dan perpecahan di kalangan musuh sahaja. Tetapi kita mesti berdiri dengan kaki sendiri untuk mencapai cita-cita ini.
Oleh itu, tidak akan memberi apa-apa makna dalam perjuangan kita kalau kita hanya mengharapkan kemenangan dengan rasa tidak puas hati rakyat kepada Umno dan BN. Gelombang ini adalah faktor sementara, dan faktor ini perlu diurus dengan baik dengan kita.
Perlu diingatkan, kekuatan PAS selama ini adalah kerana kita mempunyai kekuatan yang tersendiri iaitu ahli dan cawangan yang banyak. Tidak mungkin kita boleh bertahan seandainya kita tidak mempunyai kekuatan yang tersendiri. Tetapi perlu diingatkan kalau kita tidak memperdulikan soal asas ini maka kita akan hancur di persada tanah air kita.
Beberapa persoalan yang mesti menjadi perhitungan kepada diri saya dan juga kepada semua ahli dan pimpinan iaitu:
1. Berapakah penambahan ahli baru di tempat anda dalam usaha untuk mencapai keahlian dua juta menjelang PRU 13?
2. Berapakah bilangan ahli yang didaftar sebagai pemilih untuk persiapan PRU 13?
3. Adakah usrah di cawangan tuan-tuan berjalan atau tidak? Usrah adalah nadi gerakan kita, seandainya usrah tidak berjalan maka fikrah bercelaru, ahli tidak bertambah, ukhwah retak, individu dan rumahtangga Islam tidak dapat dibentuk, ahli parti tidak menunjukkan akhlak dan peribadi yang luhur sesuai dengan parti Islam, semangat pengorbanan lemah, banyak arahan parti tidak dipedulikan, tidak faham konsep wala’ dan tahalluf. Semuanya angkara usrah diabaikan.
4. Bagaimanakah keadaan Kelab Penyokong PAS di kawasan atau negeri-negeri masing?
5. Bagaimana majlis tindakan bersama di kalangan Pakatan Rakyat di tempat saudara?
6. Berapa banyak wang dan dana pilihanaraya?
7. Adakah Unit Amal di kawasan saudara aktif kerana ia adalah pintu masuk ke dalam perjuangan PAS di kalangan anak muda.
8. Adakah kegiatan Nisa’ aktif di kawasan masing-masing dengan penglibatan wanita muda di kalangan anak-anak ahli-ahli PAS.
9. Berapa banyak ceramah penerangan di kawasan, Majlis Tindakan Dun (MTD) dan Unit Peti Undi (UPU) telah dijalankan?
Jika sekiranya perkara ini kita mampu untuk diolah dengan baik, insya-Allah PAS upaya menghadapi sebarang kemungkinan dengan bala tentera BN dan Umno nanti.
Tetapi ingat, seandainya kita tidak membuat persiapan ini dan tidak memfokoskan kepada agenda parti dengan betul maka bermakna kita merancang untuk kegagalan. Kita mesti merancang untuk kemenangan dengan bekerja mengikut apa yang diarahkan oleh parti.
Kita mesti bekerja sebagai kerajaan menunggu bersama rakan Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.
Kesimpulannya, fokus kepada agenda parti adalah keutamaan kita. Perjuangan di gerbang maya untuk menyebarkan mesej perjuangan PAS mesti diteruskan untuk merebut peluang yang ada terutama di kalangan masyarakat yang terpelajar dan celik IT.
Dipetik dari sisipan Fikrah, Harakah Bil 1491 - 23-26 November 2009
No comments:
Post a Comment