“Wa respek sama lu!”. Sesekali bahasa rojak dapat menggambarkan sesuatu keadaan itu lebih mencengkam berbanding dengan bahasa standard. Walaupun saya pejuang bahasa standard dan tidak suka menggunakan bahasa rojak tetapi sesekali saya berasa puas dapat ungkapkan bahasa rojak untuk saya sampaikan hasrat saya kepada orang-orang tertentu. Jangan salah faham, saya tidak maksudkan orang tertentu dengan gaya bahasa sedemikian dimaksudkan untuk geng “Mat Rempit” atau “minah-minah gedik” tapi saya tujukan ungkapan rojak ini kepada Ah Tek, Ong, Bak Chua, Ah Hin dll dari Kelab Penyokong PAS Parit Buntar.
Bukanlah saya tak pandai nak ungkapkan kata yang lebih baik, tetapi itulah bahasa yang difahami oleh “Ah Tek and the gang”, dan tulisan saya ini saya dedikasikan kepada mereka daripada aktivis Kelab Penyokong PAS Parit Buntar yang telah menunjukkan komitmen mereka memenangkan PAS di Bukit Gantang. Saya yakin ramai lagi seumpama Ah Tek dan rakan-rakannya dari merata cerok yang “pulun habih”untuk PAS antaranya Ah Beh Bagan Serai. Tidak ketinggalan Suria, Nali, Siva dll, mereka habiskan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kepada mereka , “wa mau kasi tau, memanglah wa respek sama lu olang”.
Pagi itu saya terima SMS daripada Abang Hamdan yang merupakan Pegawai Khas Perpaduan di Pusat Khidmat Parit Buntar. Berita pagi itu memang memeranjatkan kerana ia adalah pemberitahuan tentang pemergian sahabat baik saya Haji Roslan Shahrum, Ahli Parlimen Buki Gantang. Saya menelefon nombor YB Roslan sendiri yang hingga hari ini masih tersimpan dalam senarai nombor talipon bimbit saya, lalu dijawab oleh anak allahyarham yang dengan nada sebak mensahkan apa yang saya terima daripada SMS. Kemudian untuk maklumat selajutnya saya menghubungi Wan, Pegawai Khas YB, lalu saya diminta oleh Wan bagi memudahkan urusan post-mortem untuk membekalkan kepada pihak hospital di Batu Gajah surat pengesahan bahawa YB Bukit Gantang itu telah jatuh di Taiwan dan disahkan ada masalah jantung di hospital Taiwan. Untuk pengetahun, saya , YB Padang Terap dan YB Nibong Tebal bersama YB Roslan menghadiri Konfrensi Keamanan di Taiwan dan semasa itulah YB Roslan ketika menaiki tangga jatuh dan pengsan lalu dikejarkan ke hospital. Jadi pengesahan kami adalah penting dan alhamdilillah segala urusan post-mortem dan pengebumian berjalan dengan lancar (akan saya dedikasikan kisah YB Roslan dalam tulisan yang lain).
Berita YB Roslan disambut dengan dua perasaan, pertama sedih dengan pemergian seorang sahabat seperjuangan, kedua kagum kerana pemergiannya seolah menjadi mercu tanda keperwiraan menebus maruah negeri yang telah dirampas oleh BN secara tidak demokratik. Saya kata wira kerana keengganan SPR membubarkan tiga DUN yang belot telah digantikan dengan pembubaran wajib Bukit Gantang dengan pemergian YB Roslan yang “berkorban nyawa” demi maruah ini! Berita PRK yang akan dibuat pada 7 April dan penamaan pada 29 March sudah diketahui dan SPR mengambil had masa yang maksima iaitu 60 hari, agaknya kerana ingin memberi laluan kepada Perhimpunan Agung Umno yang berakhir pada 28 March.
Setelah “memanaskan badan” di dataran Sungai Kerian, Parit Buntar, rutin saya ialah sarapan dengan rakyat di mana-mana gerai yang saya rasa perlu. Pagi itu Abang Hamdan mengajak saya makan pagi di pekan Kuala Kurau sekaligus berjumpa dengan Ah Tek dan Ong kerana mereka ingin tahu perkembangan PRK Bukit Gantang. Selesai berjoging pagi itu saya dan Abang Hamdan bersarapan di bangunan Mara Kuala Kurau besama YB Yunus, ADUN Kuala Kurau dan pembantunya Nan. Ah Tek dan Ong turut serta,lalu sambil makan pagi, Ah Tek dengan nada semangat berkata: “Ini kali lu jangan bimbang, kita mesti menang punya, olang lamai pun cakap ini macam PAS mesti angkat punya!” Saya pun terangsang dengan kata semangat Ah Tek yang hanya beseluar pendek dan memakai T- shirt lusuh PAS yang kurang dua tiga batang gigi hadapan. Dia terus merangsang kami yang terpegun dengan kata-kata motivasinya: “Ini PAS apa jadi pun talak lari ohh, PAS punya olang banyak kuat, itu olang Cina kata aa.. bo chow ohh…. Ehh YB kita jalan-jalan nanti jumpa sama olang ahh, ini satu pekan saya kenai semua olang, dia olang banyak syiok oo kalau YB pi salam-salam sama dia olang...”
Saya dah agak dah, Ah Tek ni memanglah suka bawa saya bersalaman dengan orang ramai di kedai-kedai kopi Cina, sambil kembang hidungnya memperkenalkan YB dia kat orang ramai dan memang pun orang Cina di Kuala Kurau memberi sokongan padu kepada PAS dalam PRU baru-baru ini. Kami pun meninggalkan bangunan Mara untuk berjalan-jalan di pekan Kuala Kurau sambil salam dengan semua orang dan setiap kali bersalaman baik dengan orang Melayu ataupun Cina mereka menenangkan kami sambil berkata: “Jangan takut mesti menang punya!” Begitulah suasana sebelum PRK Bukit Gantang, belum pun loceng berbunyi sudahpun diberi sokongan moral untuk PAS. Di pintu kereta, Ah Tek ucap selamat tinggal sambil berjanji akan turun Bukit Gantang dan akan berkempen habis-habisan.
Pada hari penamaan calon ramai daripada ahli Cina Kelab Parit Buntar tidak hadir kerana ada hari keagamaan bersih kubur. Kecuali Bak Chua dari Tanjung Piandang, Ong, Ah Tek dan Ah Be Bagan Serai minta maaf kepada saya tidak dapat hadir, saya memahaminya bagi menghormati mereka. Tetapi selepas penamaan calon hampir setiap hari mereka turun untuk memastikan calon PAS menang. Mereka pusing merata ceruk yang ada pengundi-pengundi Cina untuk edar risalah dan berkempen dari rumah ke rumah. Kehadiran mereka mewarnai slogan “PAS for All”, ia bukan retorik macam “1 Malaysia” tetapi sesuatu yang real, bukan sahaja PAS menawarkan manifesto politiknya untuk semua tetapi semua kaum di negara ini bekerja untuk memenangkan PAS melalui aktiviti kempen mereka. Bagi saya inilah yang menakjubkan. Mereka juga berbangga memakai baju “PAS For All”, topi yang ada gambar Tok Guru dan badge lambang PAS. Mana-mana mereka pergi sedikitpun mereka tak berasa kekok dengan T-Shirt Kelab Penyokong PAS Perak yang tertera slogan keramat “PAS for All”. Bak Chua yang paling bersemangat, kampong Melayu pun dia mahu berkempen.
Dalam salah satu hari berkempen saya ajak mereka minum dan makan sebagai penghargaan saya kepada mereka kerana sepanjang waktu berkempen saya hanya membekalkan duit minyak sahaja kepada mereka, sudah tentulah tidak mencukupi, jadi dengan belanja mereka makan sekurang-kurangnya terubat rasa letih mereka. Sambil menikmati tom yam di bandar Taiping, Bak Chua melahirkan kebimbangannya: “Wa atak takut Cina punyi undi, dia mesti kasi sama koyok (PAS) punya, itu Melayu aa wa ada takut sikit, dia olang mau sama Umno lagi” dalam kebimbangan itu sempat dia memotivasikan saya, Abang Hamdan, Azizi, Jas, dll: “Tak pa maa... mesti mau kerja kuat sikit, mesti menang punya lu jangan takut!” Saya kagum dengan semangat ini, saya sering termenung memikirkan ungkapan-ungkapan ini dari mulut seorang Cina ahli kelab yang bahasa Melayunya tunggang terbalik dan pada waktu yang sama saya berasa terharu terhadap perjuangan Islam PAS di Malaysia yang menyerlahkan lagi kebenaran Tuhan merestui perjuangan ini. Bayangkanlah dalam kepekatan perkauman, PAS muncul memecahkan tembok ini dan dibuktikan dengan gerakkerja Kelab Penyokong yang bersama memecahkan tembok ini. Bagi saya ahli kelab yang bertebaran di seluruh negara hari ini adalah wira-wira yang memecahkan tembok perkauman ini, membelah arus dan mengambil risiko yang tinggi.
Saya insaf kerana berkat perjuangan politik Islam PAS, Allah menzahirkan hujjahnya kepada manusia bahawa jika kamu orang Islam menolak perjuangan Islam aku jadikan yang bukan Islam mendokong perjuangan Islam! Mereka hanya beberapa inci sahaja mencapai nikmat keadilan yang diperjuangkan oleh PAS, hanya hidayah Allah yang menjadi penentunya untuk beberapa inci lagi! Ah Tek menyumbangkan 200 kotak mineral walaupun dia hanya menggoreng kueh tiaw sahaja di pekan Kuala Kurau. Ong agak lanjut usianya, ada masalah jantung walaupun tak serik menghisap rokok lagi. Ong termengah-mengah berjalan dalam suaranya yang lembut sedikit menyeru kaumnya menyokong perjuangan PAS, ada seketika dia terpaksa berhenti duduk kerana letih, mukanya sedikit pun tak menunjukkan kesal kerana terpaksa begini untuk menangkan PAS. Satu sen pun dia tak mintak kepada PAS, dia hanya mahu diperhatikan dan didorong, cukuplah itu “habuannya” dalam menjadi ahli Kelab Penyokong PAS. Saya pelik sesekali bila terkenangkan orang PAS sendiri yang meminta-minta habuannya, kononnya telah bertungkus lumus untuk parti. Saya malu dalam diam kepada Ong, Ah Tek dan Bak Chua apabila mengenangkan ada orang PAS yang “demanding” dengan parti tentang kos, dll. Ingat, mereka ahli-ahli kelab adalah hujjah untuk kita dan juga keatas kita.
Saya tahu selain watak AhTek, Ong, Bak Chua, Ah Hin, Ah Beh ada lagi wira-wira yang saya tidak tahu nama mereka. Mereka mungkin ada di kawasan-kawasan lain, yang penting belailah mereka, bimbinglah mereka dan ambil berat kebajikan mereka. PAS memerlukan ramai lagi seperti “Ah Tek and the gang” kepada wakil-wakil rakyat PAS, jangan sia-siakan pengorbanan ahli kelab dan jangan mengadu hal tentang mereka tetapi cari jalan untuk menjinakkan mereka menjadi aktivis parti yang berkesan dengan hikmah. Tapi buat masa ini, kisah ringkas watak-watak dalam Parit Buntar ini yang telah membuktikan kesetiaan mereka di Bukit Gantang saya ingin rakamkan pada akhir kalam ini: “Wa respek sama lu!”By Mujahid Yusof Rawa.
Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.
sumber : http://politikbanjar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment