Mon | Feb 09, 09 | 1:58:50 pm MYT | |
TANAH MERAH, 9 Feb (Hrkh) - Ketika Adun Sungai Pinang, Nordin Salleh dan Adun Limbongan, Wan Najib Wan Mohamad keluar Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1992, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan mengisytiharkan kedua-dua kerusi itu kosong. Nordin dikatakan menyertai semula Umno kerana tidak puas tak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Omar Mohamad selaku Speaker ketika itu menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi tersebut. Tindakan itu dibuat selaras dengan pindaan dibuat pada Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan Perkara XXX1A yang menyebut sekiranya seseorang Adun meninggalkan parti atau dipecat, maka kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya menjadi kosong. Selepas itu SPR mengadakan pilihan raya di kedua-dua Dun terbabit dengan dimenangi calon Angkatan dari Semangat 46 iaitu Mahmood Yakub di Sungai Pinang dan Samat Mamat di Limbongan. Namun selepas itu Nordin dan Wan Najib mencabar keputusan Speaker yang mengosongkan kerusi Sungai Pinang dan Limbongan. Ekoran itu Mahkamah Agung memutuskan pindaaan perlembagaan Kelantan yang dibuat tidak sah dan bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) yang menjamin hak kebebasan berpersatuan. Mahkamah telah memberi semula kerusi kepada Nordin dan Wan Najib sehingga rakyat Kelantan menggelar mereka sebagai 'wakil mahkamah' dan bukan wakil rakyat. Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohd Amar Abdullah berkata, kes serupa juga berlaku di Perak sekarang, namun SPR telah bertindak di luar bidang kuasanya. Katanya SPR enggan menerima keputusan Speaker yang menggosongkan kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang apabila Adun berkenaan mengisytiharkan keluar dari KeADIlan dan DAP. "SPR tidak wajar meragui surat yang dibawa Speaker, V Sivakumar apabila menerima surat perletakan jawatan daripada Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi. Tindakan yang sepatutnya diambil SPR mengisytiharkan pilihan raya. "Namun apa yang berlaku di Perak, SPR menafikan surat yang dibawa Speaker, sedangkan hak menentukan kerusi kosong atau tidak itu hak speaker," katanya pada ceramah di padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini, malam semalam. Dan kata beliau apabila Adun Behrang dan Changkat Jering tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker, mereka boleh mencabarnya di mahkamah. Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, Speaker merupakan orang ketiga berpengaruh di sesebuah negeri selepas Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar. Menurutnya hujah serupa juga diutarakan ahli-ahli akademik di mana mereka mempertikaikan kerajaan baru ditubuh tanpa melalui undi tidak percaya di Dun. Kata beliau ramai cendikiawan berhujah kerajaan hanya boleh ditukarkan melalui undi tidak percaya yang dibawa ketika persidangan Dun diadakan dan bukan seperti berlaku sekarang. Oleh itu beliau berkata, kerajaan Perak yang baru dibentuk di Perak sekarang adalah tidak sah. Padang tempat berlangsung ceramah tersebut penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Segenap ruang padang dipenuhi penduduk tempatan. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Harun Din dan Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Wan Yusof Wan Mamat. Harun berkata, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin masih lagi dianggap sebagai Menteri Besar Perak kerana undang-undang menetapkan pemecatan boleh dilakukan melalui usul tidak percaya di Dun. "Saya hendak bertanya pihak berkenaan peruntukan mana yang digunakan meminta Menteri Besar meletak jawatan. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga persidangan Dun berlangsung. "Atau mungkin mereka bimbang ketiga-tiga Adun terbabit akan berpatah balik kepada Pakatan Rakyat," ujarnya. |
Info Solat
-
Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh
itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam
keadaan b...
11 years ago
No comments:
Post a Comment