Feb 6, 09 12:05pm
kemaskini 2.50pm Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.
Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini.
kemaskini 2.40pm Perkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata.
Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.
kemaskini 2.26pm Mereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah.
Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan.
Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai.
Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.
kemaskini 2.21pm Kira-kira 500 orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.
Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.
kemaskini 2.15pm Gelaran "Datuk Seri" yang dianugerahkan kepada bekas menteri besar Pakatan Rakyat di Perak wajar ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.
Ketua bahagian Umno Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang krisis tersebut dan bersikap
"lempar batu sembunyi tangan", lapor Bernama.
kemaskini 1pm Datuk Seri Najib Razak dilaporkan membayangkan perkembangan di Perak ini akan berulang di negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat.
Timbalan perdana menteri berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada perkembangan semasa politik.
kemaskini 12.40pm Speaker DUN Perak, V Sivakumar akan mengutuskan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda mengadakan sidang khas dewan.
Sidang tergempar - seboleh-bolehnya hari ini atau esok - bagi menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti di dewan tersebut.
Sivakumar berkata beliau juga memohon baginda menunda majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir 3.30 petang ini.
Surat itu akan dikirimkan kepada baginda secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment