Sebelum ini saya sering mempertikaikan konsep nasionalisme yang dibawa oleh pemimpin Kerajaan (Barisan Nasional) kepada rakyat Malaysia. Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang kononnya memperkenalkan 1Malaysia yang membawa erti semua kaum di Malaysia berdiri di bawah satu konsep Bangsa Malaysia yang tidak mengira kaum.
Sebelum ini lagu kebangsaan Malaysia juga dibuktikan bahawa ianya bukan lagu asli Malaysia yang diciplak dari lagu keroncong Terang Bulan di Indonesia yang asalnya diambil dari lagu Memula Moon.
Sumpah Pemuda
Konsep 1Malaysia mirip Sumpah Pemuda yang dibacakan pada 28 Oktober 1928 yang mana berikrar berbangsa satu, Bangsa Indonesia. Sumpah Pemuda Indonesia juga berikrar bahawa mereka bertumpah darah yang satu, tanahair Indonesia dan menjunjung Bahasa Indonesia sebagai bahasa mereka bagi memperkuatkan kesatuan bangsa-bangsa di Indonesia.
Para peserta dari kongres sumpah pemuda ini terdiri dari pelbagai organisasi pemuda seperti Jong Java, Jong Ambon, Jong Celebes, Jong Batak, Jong Sumatranen Bond, Jong Islamieten Bond, Perhimpunan Pelajar-pelajar Indonesia (PPPI), Pemuda Kaum Betawi. Bahkan ada juga keturunan Tionghoa yang bertindak sebagai pemerhati dalam kongres tersebut.
Signifikannya konsep yang dibawa oleh Pemuda Indonesia pada ketika itu apabila ianya diusulkan di dalam kongres yang dihadiri oleh wakil-wakil mahasiswa Indonesia dari pelbagai etnik di Indonesia yang bergabung di Indonesische Vereeninging (yang akhirnya diubah menjadi Perhimpunan Indonesia). Kewujudan gabungan ini adalah hasil daripada kecewaan dengan perkembangan kekuatan-kekuatan perjuangan di Indonesia, dan melihat situasi politik yang dihadapi, akhirnya membuat keputusan untuk membentuk kelompok pemikir dari kalangan mahasiswa berpengaruh atas keaktifan mereka pada ketika itu.
Antara kelompok pemikir terdiri daripada Kelompok Studi Indonesia (Indonesische Studie-club) yang dibentuk di Surabaya pada tanggal 29 Oktober 1924 oleh Soetomo. Kedua, Kelompok Studi Umum (Algemeene Studie-club) yang direalisasikan oleh para nasionalis dan mahasiswa Sekolah Tinggi Teknik di Bandung yang dimotori oleh Soekarno pada tanggal 11 Julai 1925.
Mereka berpendapat, bagi memperkuatkan kesatuan di kalangan bangsa-bangsa di Negara itu ialah dengan melalui sejarah, bahasa, hukum adat, pendidikan dan kemahuan.
Pada perhimpunan mereka kedua pada 28 Oktober 1928 di Gedung Oost-Java Bioscoop, mereka membahaskan masalah pendidikan. Di akhir perbahasan, mereka bersependapat bahawa kanak-kanak harus mendapat pendidikan kebangsaaan, harus pula ada keseimbangan antara pendidikan di sekolah dan di rumah. Mereka juga bersetuju bahawa anak-anak perlu dididik secara demokratik.
Di akhir kongres juga diperdengarkan lagu “Indonesia” karya Wage Rudolf Supratman.
Kini hari Sumpah Pemuda menjadi hari bagi memperingati konsep yang diperkenalkan pada tahun 1928 itu. Setiap kali tiba tanggal 28 Oktober, mereka akan memainkan semula rakaman ikrar Sumpah Pemuda 1928 yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran segenap pemuda Indonesia dalam meningkatkan semangat kebangsaan serta mengantisipasi kelemahan daya saing pemuda Indonesia pada waktu tertentu.
Dan harapan pelapis-pelapis kepimpinan yang menyanjung sejarah konsep “satu bangsa” mereka ialah menimbulkan kesedaran bahawa kemajuan bangsa yang berkeadilan sosial dan bermartabat akan mudah dicapai apabila bangsa Indonesia tetap mempertahanan rasa persatuan dan kesatuan. Justeru, para pemuda harus memiliki kesedaran posisi untuk terus mengasah jiwa kepeloporan mereka dalam memperbaiki kualiti kehidupan bangsa mereka.
1Malaysia
Apakah yang dibawa 1Malaysia?
Menurut Blog 1Malaysia yang aku rasa bukan ditulis oleh Najib, 1Malaysia mengandungi lapan nilai iaitu ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati, kesetiaan dan budaya kecemerlangan. Menurut Najib di dalam salah satu ucapan di dalam blognya, matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian negara ini yang selama ini menjadi kekuatan suapaya kekal sebagai bekalan sebaik kita untuk masa hadapan. Ia juga kononnya sebagai tempat untuk berkongsi impian, untuk satu masa hadapan yang lebih baik.
Memang menakjubkan dan semememangnya nilai-nilai ini diperlukan. Tetapi apakah nilai-nilai ini diterapkan? Kita lihat konsep Bersih, Cekap, Amanah yang diterapkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan kemudiannya diubah kepada Bersih, Cekap, Adil yang mana nilai-nilai itu cuba diterapkan kepada kakitangan-kakitangan kerajaan. Adakah tahap kecemerlangan kakitangan awam Berjaya dipertingkatkan?
Kita lihat pula Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bagi menerapkan cara hidup Islam. Ianya dikecam dengan cuba memanipulasi kosep kesyumulan Islam itu sendiri.
Sememangnya, konsep-konsep nasionalisme yang dibawa oleh pemimpin kerajaan Malaysia (sebut: Barisan Nasional) hanya cuba memberi kepentingan yang boleh membawa kepopularitian individu dan tidak melihatkan kesan kepada pembangunan insan.
Inilah akibatnya apabila kita mempunyai konsep yang tidak mempunyai nilai demokratik yang betul-betul melihat kepada pemasalahan dan keperluan rakyat dalam membentuk satu bangsa.
Saya cuba menanya pendapat teman-teman mengenai kefahaman mereka secara rambang mengenai konsep 1Malaysia. Mereka sering merujuk 1Malaysia kepada Najib. Pendapat melampau daripada teman-teman ialah retorik politik biasa pemimpin Malaysia. Mungkin sedih apabila mendengar pendapat sedemikian tetapi bukankah pendapat-pendapat mereka itu ada kebenarannya?
*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas.
-MerdekaReview
sumber - sabahdaily
1 comment:
Hi great reeading your post
Post a Comment