YB Nurul Izzah dari Lembah Pantai begitu murah hati. Dia memuji saya sebagai seorang pemimpin politik Melayu yang berani sederhana dan berprinsip. Saya amat berterima kasih kepadanya.
Tetapi sebenarnya ada ramai lagi pemimpin Melayu Islam yang tidak ekstrem dan bersifat sederhana. Mereka berani ,ada prinsip dan integriti. Mereka juga wajar kita beri perhatian dan sokongan .Orang Melayu Islam di negara ini memerlukan kepimpinan yang sederhana dan berperikemanusiaan seperti Tok Guru Nik Aziz dan YB Khalid Samad.
Berbeza pula dengan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein yang bangga kerana dapat menunjukkan kepada kepimpinan UMNO dan kuncu-kuncu mereka di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor bahawa dialah yang prihatin dengan nasib orang-orang UMNO. Orang-orang inilah yang berarak dengan kepala lembu membantah cadangan pembinaan sebuah kuil kerana kononnya kuil itu dekat dengan rumah mereka.
Hishammuddin sedikit pun tak rasa bersalah atau meminta maaf terhadap tindakan mengancam rusuhan kaum dan menghina kaum serta agama lain. Malah dia pula menjadi jurucakap kumpulan ini dengan berkata mereka tidak berniat untuk menghina sesiapa. Sudah tentu selepas lawatan ke tempat itu dan kenyataan Menteri yang sedemikian rupa, maka siasatan polis juga mungkin selesai begitu sahaja selepas ini. Jika pergaduhan kaum berlaku atas provokasi kumpulan kepala lembu itu, apakah Hishammuddin berani bertanggungjawab?
Pada zaman penjajahan dahulu, iaitu sebelum UMNO bermaharajalela di negara ini, Masjid Kapitan Keling telah dibina di sebelah kuil Hindu Arulmigu Mahamariamman di Pitt Street di Pulau Pinang. Di hadapan masjid itu pula ada gereja Kristian St George’s Church. Orang Islam masa itu bila sembahyang di masjid itu tidak pula rasa tersinggung atau goyang iman mereka.
Mereka tidak pula menyembelih lembu dan berarak membawa kepala lembu serta memaki hamun kaum dan agama lain. Yang berkuasa di Pulau Pinang pada zaman itu adalah orang Kristian. Mereka berhak untuk melarang pembinaan Masjid Kapitan Keling dan kuil Hindu di sebelah gereja mereka. Kuasa ada pada mereka. Mereka boleh memberi alasan kononnya mereka tersinggung dann terguris hati jika masjid dan kuil dibina di sebelah gereja mereka.
Mereka boleh berkata sembahyang mereka tidak sempurna atau tidak diterima Tuhan kalau ada masjid dan kuil yang berdekatan dengan gereja mereka. Tetapi penjajah Inggeris tidak pula berbuat demikian. Malah dekat situ juga ada kuil Kuan Yin Teng untuk orang Cina.
Nampaknya pada zaman dulu, manusia Malaya boleh hidup saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Masa itu orang Melayu Malaya tidak perlu dibawa ke seminar khas Biro Tata Negara untuk menginsafkan mereka tentang nasib agama dan bangsa. Masa itu tidak ada Utusan Malaysia yang mana pengarangnya seperti Zainuddin Maidin dan anak-anak didiknya telah mengajar orang Melayu supaya membenci kaum dan agama lain.
Jika masyarakat Pulau Pinang terdiri dari berbagai kaum, Kelantan pula yang majoriti penduduk adalah orang Melayu turut bersikap terbuka. Kerana sifat unik orang Kelantan ini, maka UMNO tidak sempat tumbuh segar dan dengan itu selamatlah nasib orang Melayu Islam Kelantan.
Darah mereka belum tebal dengan rasa benci dan perkauman yang meluap-luap. Jiwa Islam Melayu yang dipupuk dalam suasana kampung masih tenang dan beradab. Kalau orang Kelantan “gedebe” pun, ia tidak ada kena-mengena dengan kebencian kaum dan agama. Orang Kelantan ke masjid dan surau untuk melakukan ibadah tetapi tidaklah pula mereka rasa tersinggung bila melihat kuil Buddha yang besar tersergah di kawasan mereka.
Hanya di Kelantan ada tiga wat Buddha yang terbesar; Buddha Berdiri di Kampung Balai, Buddha Berehat di Kampung Berok dan Buddha Bersila di Kampung Jubarak. Semua wat Buddha ini dibina dengan harga berjuta ringgit; berada dalam kawasan majoriti besar orang Melayu Islam. Tetapi Melayu Islam di kampung-kampung ini tidak sama dengan sesetengah Melayu canggih di Seksyen 23 Shah Alam.
Melayu kampung di Kelantan mendengar nasihat Tok Guru Nik Aziz untuk hormat agama lain. Mereka tahu apa yang Tok Guru ajar itu memang berlandaskan Al-Quran yang melarang umat Islam mempermain-mainkan agama orang lain. Orang Melayu Islam di Kelantan juga tidak terguris hati mereka bila kerajaan membina sabuah masjid di Rantau Panjang yang bentuk rupa saperti rumah maharaja Cina. Malah mereka bangga dengan sikap toleran dan keterbukaan Islam yang di tonjolkan olih Tok Guru.
Sepatutnya orang Melayu di Shah Alam mendengar nasihat YB Khalid Samad, seorang pemimpin Melayu Islam yang sederhana dan peka kepada tuntutan dan masalah rakyat di negara majmuk Malaysia ini. Khalid telah menulis dengan berani dalam blognya:
“Terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup ‘melihat’ kuil dan tok kong. Walau jauh macam mana sekalipun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat ‘bumbung kuil atau tok kong’, mereka menjadi bagaikan dirasuk. Adakah wajar sikap ‘ekstrimis’ yang seperti ini di sebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?”. Kalau nak tahu lebih lanjut isu kuil dan kepala lembu itu, sila layari: www.khalidsamad.com
Khalid dan Tok Guru adalah antara pemimpin Melayu Islam yang patut kita banggakan kerana mereka mampu menyelamatkan negara ini dari terjunam ke dalam kancah pergaduhan kaum dan pertelingkahan agama yang dashat. Saya yakin ada ramai lagi orang Melayu Islam yang berpendirian sederhana tapi tegas dan benar-benar menghayati prinsip jujur, ikhlas dan toleran mengikut ajaran Islam. Orang-orang seperti inilah yang wajar kita dengar pandangan mereka. bukan penghasut dan pembenci kaum dan agama.
Sumber - Zaid Ibrahim
Info Solat
-
Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh
itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam
keadaan b...
11 years ago
No comments:
Post a Comment