Generasi kedua pimpinan DAP kini lebih terbuka dan bersedia untuk memahami Islam yang dianjurkan oleh PAS di dalam Pakatan Rakyat. InsyaAllah..
Persoalannya, bersediakah UMNO?
sunsnake
Pas jelaskan kepada DAP
KOTA BHARU 2 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan soal sama ada DAP akhirnya akan dapat menerima dasar pemerintahan Islam atau tidak pada masa depan bergantung kepada keupayaan Pas memberi penjelasan.
Di samping itu, katanya, ia juga terletak kepada tahap penerimaan oleh rakan dalam pakatan pembangkang itu.
''Hubungan dengan DAP masih pada peringkat 'setahun jagung' dan keadaan akan berubah kepada lebih baik kelak melalui percambahan pemikiran mengenai Islam,'' katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas masalah yang masih menjadi 'duri dalam daging' berhubung dasar pemerintahan Islam yang ditentang keras oleh DAP selama ini.
Menurut beliau, tentunya pelbagai masalah akan wujud pada peringkat awal dalam mencari persamaan melibatkan pelbagai kaum, agama dan pemikiran.
''Pakatan baru setahun jagung, tentulah (sukar) nak satukan bermacam-macam perkara ini, ketika rakyat disumbat dalam pemikiran bahawa Islam itu pecah-belah, bahaya dan tidak membawa kemajuan.
''Ia suatu pemikiran lama yang masih wujud, bukan senang (diatasi), Alhamdulillah pakatan telah wujud, walaupun hadapi masalah.
''Seumpama anak yang baru boleh berjalan, rebah, bangun dan kembali segar serta boleh berlari kelak,'' ujarnya.
Namun, katanya lagi, ia tetap bergantung kepada bentuk penjelasan yang dibuat oleh Pas dan tahap penerimaannya oleh rakan pakatan.
''Dari segi kebolehan Islam, saya yakin, namun terima atau tidak terletak atas kita yang menerang, atas kalbu orang yang mendengar.
''Nabi sendiri pun (dalam memberi penjelasan), ditentang oleh bapa saudaranya, tetapi orang dari jauh seperti Habsyah, Parsi pula terima,'' ujarnya.
Terdahulu, Nik Abdul Aziz menegaskan, titik pertemuan soal perpaduan di negara yang mempunyai masyarakat majmuk ini boleh dicapai melalui Islam.
Menurutnya, Islam dapat menerima semua bangsa atau kaum berasaskan kefahaman, penghormatan dan penerimaan mereka terhadap agama itu.
Tambah beliau, Pas telah digerakkan sebagai wadah bagi Islam yang boleh menyakinkan semua agar berpayung di bawah parti itu melalui keterbukaannya.
''Sebab itu, saya berpendapat sekarang sudah tiba masanya Pas dibuka kepada bukan Islam,'' ujarnya.
Katanya lagi, Pas boleh menjadi satu parti alternatif yang memayungi semua kaum bagi mewujudkan perpaduan sebenar.
sumber - Utusan
No comments:
Post a Comment