SEPT 7 – Perlukah berbahasa Inggeris semata-mata untuk menempah bufet juadah berbuka puasa di hotel lima bintang? Perlukah juga bahasa penjajah untuk memesan dua ketul paha ayam, kentang goreng dan segelas Pepsi di restoran makanan segera?
Ketika menempah tiket penerbangan di kaunter syarikat pesawat nasional, kita diajukan pertanyaan dalam bahasa Inggeris. Dalam pesawat pula, pramugari menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, itu pun dengan loghat yang luar biasa.
Apakah ini citra wajah Malaysia yang diperjuangkan oleh sebuah bangsa yang setengah abad merdeka? Apakah Malaysia seperti negara membangun di Afrika, Amerika Latin dan Asia yang masih dihinggap sindrom rendah diri dan meyakini bahasa pribumi tidak bernilai, kolot dan memalukan?
Apakah kita yakin bahawa kualiti bahasa Melayu masih rendah, tidak pernah meningkat dan sering dipertikaikan? Persoalan ini amat wajar dilontarkan ketika negara baru saja menyambut kemerdekaan ke-52 tahun, martabat bahasa Melayu (sekarang sengaja ditukar bahasa Malaysia) masih dipertikai nilai ekonomi dan sosialnya.
Status bahasa Melayu amat terpinggir di negaranya sendiri. Walaupun setengah abad penjajah meninggalkan negara ini, bahasa Melayu masih dianggap pinggiran.
Jika memandu di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, papan iklan dan paparan skrin elektronik begitu ketara mengutamakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu, kalau adapun sekadar ada-ada saja. Bahasa Inggeris sentiasa mengambil tempat sebagai bahasa utama dunia.
Jika kita mahu Malaysia seiring di pentas global, kehadiran bahasa Inggeris tidak boleh dielakkan. Bagaimanapun, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan milik asal Tanah Melayu perlu didaulatkan. Merendahkan kedaulatan bahasa pribumi hanya mencalar nilai sejarah yang wujud ribuan tahun di Nusantara.
Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu di Asia Pasifik hingga Afrika Selatan. Tanpa sedar pengguna bahasa Melayu merata di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.
Memartabatkan bahasa Melayu ada kaitan dengan jati diri dan sistem sosial. Justeru, usaha mendaulatkan bahasa sendiri sepatutnya bukan halangan di Malaysia. Dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya tidak berlaku. Tidak ada mana-mana negara yang beradat dan beradab tergamak meminggirkan bahasa sendiri untuk dua subjek penting
itu.
Membicarakan isu bahasa dan kemerdekaan ada waktunya melelahkan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri pernah mencatatkan kelantangan era Tan Sri Syed Nasir Ismail yang begitu tegas menentang usaha meleburkan bahasa Melayu.
Sekarang, ketika merayakan kemerdekaan pada Ramadan, amat wajar kita merenung penutup ucapan Allahyarham Tan Sri Asri Muda yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen ketika menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Rakyat pada Mac 1967.
Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa
kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa jenayah politik yang begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu akan datang" (Keranda 152: Halaman 20) – Berita Harian
No comments:
Post a Comment