Shah Alam - Bagi memartabatkan Bulan Rejab, setiap tahun MAIS tidak ketinggalan menganjurkan program Bulan Wakaf Negeri Selangor yang dikelolakan oleh Bahagian MAL dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi untuk mengajak masyarakat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan mengamalkan ibadah wakaf. |
Bulan Wakaf Negeri Selangor telah mula dilaksanakan pada tahun 2005 dan ianya masih diteruskan sehingga kini. Kebanyakan program yang disusun adalah untuk mengimarahkan Bulan Rejab sebagai Bulan Wakaf Negeri Selangor yang dilaksanakan terus kepada sasaran-sasaran tertentu. Dengan cara ini, ibadah wakaf dapat diserapkan kepada semua lapisan masyarakat supaya ianya dapat dihayati dan diamalkan.
Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk mengajak masyarakat menghayati dan mengamalkan ibadah wakaf agar ianya subur dalam jiwa umat Islam selain mewujudkan keterlibatan dan meningkatkan kesedaran sektor swasta atau korporat dalam ibadah wakaf khususnya menyertai Saham Wakaf Selangor. Di samping itu juga, objektif utama program ini ialah menambahkan hasil Kumpulan Wang Wakaf MAIS.
Pelbagai program telah diatur oleh MAIS sepanjang Bulan Wakaf ini antaranya ialah Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Pembukaan kaunter Saham Wakaf Selangor, Forum Perdana Wakaf, MAIS Intelectual Discourse (MID 09), Makan Malam Amal Wakaf dan Program Jom Mesra Wakaf. Adalah diharapkan setiap program yang disusun bagi mengimarahkan Bulan Wakaf Negeri Selangor pada Bulan Rejab 1430H ini akan mencapai kepada objektifnya agar masyarakat dapat menghayati amalan wakaf (sedekah jariah) dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment