Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    11 years ago

Wednesday, May 6, 2009

Penanti Merayu....



MEI 6 — Saya membaca komen yang dibuat oleh pembaca artikel saya "Penanti Seksa Menanti", dan cuba memahami bagaimanakah tahap mentality para pembaca dalam melihat isu penanti secara objektif.

Namun dari komentar yang dibuat saya seolah mendapat isyarat daripada penulis-penulis tentang artikel saya bahawa seolah-olah “tidak ada masalah seseorang wakil rakyat untuk meletakkan jawatan tanpa satu alasan yang kukuh”, begitu juga seolah saya memahami dari komentar para penulis bahawa pandangan saya ini membuka ruang kepada BN untuk menang, dan kalau saya tak silap seolah-olah PAS Pulau Pinang membelakangkan keputusan pucuk pimpinan.

Komentar lain saya kira lebih emosional dari berpijak di bumi nyata, kecuali satu pandangan yang bernas yang saya kira sealiran dalam pemikiran hak pengundi, iaiatu cadangan “re-call”.

Adalah tidak tepat bagi kita memahami sikap yang diambil oleh PAS Pulau Pinang sebagai ruang untuk BN menang sebaliknya ia adalah satu isyarat jelas bahawa mana-mana parti yang hendak meletakkan calon harus memastikan calon itu dapat mencurahkan khidmatnya tanpa ada apa-apa kepentingan diri, jika tidak inilah yang akan berlaku dan perletakan jawatan sebelum masanya adalah sesuatu yang pasti.

Kedua, dalam soal siapakah yang menjadi penentu untuk keputusan perletakkan jawatan seseorang wakil rakyat, parti atau pengundi, seorang pengulas seolah-olah meletakkan bahawa hanya parti sahaja secara mutlak memutuskan, sedangkan parti hanya mencalonkan dan rakyat yang menentukan, nama pun “calon parti” tetapi yang membuang undi ialah rakyat, apakah pendapat ini menafikan hak yang bilangannya jauh lebih besar daripada jumlah anggota kepimpinan parti.

Ya saya bersetuju seseorang calon bergantung kepada nama partinya tetapi faktor penilaian pengundi juga besar. Jadi, janganlah menafikan faktor pengundi yang mempunyai hak juga untuk menentukan. Di sini saya bersetuju dengan saudara pengulas yang mencadangkan “re call” sebagai mekanisma penentuan samada mahu meneruskan wakil rakyat ini atau tidak? Kemudian baru dibuat pilihanraya semula.

Pandangan ini lebih menjurus kepada memperbaiki sistem yang ada dan berpandangan jauh bukan seperti beberapa pengulas yang berpandangan sempit dan tidak berpijak di atas menghormati prinsip-prinsip yang diterimapakai dalam demokrasi berperwakilan (Bahasa yang digunakan jika tidak memahaminya tidak semestinya tidak betul!)

Untuk pengetahuan, mekanisma dalam PAS untuk menentukan kriteria calon parti adalah ketat kerana tidak mahu insiden yang malang ini berlaku. Saya tidak tahu apakah masalah yang dihadapi oleh Fairuz sehingga ia diminta untuk meletakkan jawatan oleh partinya kerana itu “masalah dalam kain PKR”, sehingga satu jawaban yang konkrit dan lebih realistik diberi, saya hanya berpegang kepada “face value” jawapan yang diberi iaitu untuk sambung belajar, jika ada alasan lain walluahlam.

Jangan salahkan saya jika saya tidak mengetahui apa masalah Fairuz di Penanti kerana pengulas mungkin lebih mengetahui, dan jika alasannya kukuh mungkin saya pun boleh terima.

Saya juga mengharapkan persahabatan dengan PKR dalam PR adalah persahabatan yang ikhlas. Saya tidak mungkin boleh berdiam jika seorang sahabat melanggar konsep asas keperwakilan, dan kerana itu saya perlu menegurnya dengan cara berperinsip supaya tidak terguris.

Bukanlah persahabatan itu bermakna boleh “ditarik hidung” kemana sahaja, perhubungan ini diharapkan hubungan yang panjang dan lebih penting hubungan ini adalah untuk berhadapan dengan BN. PAS Pulau Pinang hanya melahirkan hasrat akar umbi yang mungkin bagi sesetengah pengulas menganggap “tak penting” kerana yang penting ialah parti, tapi jangan lupa parti tak ada kalau tak ada akar umbi.

Kalau tanya PAS, parti kami ada 3,000 ahli di Penanti, cawangan ada 11 cawangan dan bilangan markaz hampir di semua ceruk kampong, inilah nadi dan denyutan PAS di Penanti yang “tidak penting” untuk diambil kira? Mungkin juga kita memerlukan parti yang hanya bergantung kepada seorang yang menentukan segala-galanya dan lupakan akar umbi?

Saya ingin mengucapkan terimakasih kepada salah seorang pengulas yang menyebut tentang syura dan amalannya dalam PAS, ada juga yang menganggap keputusan PAS Pulau Pinang membelakangi arahan pemimpin. Bagi yang belum tahu apakah aspek praktikal amalan syura, ia adalah bertukar pandangan dan pendapat.

Sememangnya secara konvensyen tanpa perjanjian bertulis,dalam PRK mana-mana parti yang empunya kerusi itu akan kekal status-quonya, itulah yang disebut oleh kepimpinan PAS, namun dalam mempraktikkan amalan ini, pengecualian boleh berlaku jika ada satu alasan kukuh yang boleh menyebabkan sebaliknya berlaku.

Dalam kes Penanti inilah rayuan PAS Pulau Pinang untuk dibuat kajian semula dengan mengambil kira bahawa keputusan PAS Pusat adalah muktamad. Itu praktiknya syura, bukan ikut buta tuli tanpa ada satu pandangan yang mungkin boleh dianggap “tersilap pandang”.

Jadi saya menasihati supaya baca lagi amalan syura dalam Islam dan jangan melulu menuduh PAS tidak praktik apa yang diajarnya! Yang perlu belajar adalah kita semua yang serba kekurangan. PAS terbuka pada semua pandangan dan PAS juga komited memelihara persahabatan ini.

Kalaulah seorang sahabat tidak boleh dipertikaikan ia bukan sahabat tetapi sekadar kawan yang dikutip di jalanan dan boleh dibuang ketika dirasakan perlu dan diambil bila dirasakan perlu, saya tidak fikir persahabatan PAS-PKR adalah semacam itu!

Semua yang saya nyatakan dari awal tadi tidak langsung mengurangkan keyakinan saya bahawa BN akan dikalahkan di Penanti, insyaallah. Saya juga menjaminkan bagi pihak PAS Pulau Pinang bahawa “it’s gonna be one to one fight” bagi Pakatan Rakyat.

Sehingga satu keputusan muktamad tentang Penanti, PAS Pulau Pinang tidak akan berubah sikapnya tentang konsep keperwakilan yang perlu dihormati dan dipelihara sebagai budaya politik yang sihat dan meletakkan jawatan wakil rakyat sebelum masanya tanpa alasan yang kukuh bukanlah satu kes awalan yang baik!

Sebagaimana PAS Pulau Pinang ingin menjelaskan juga bahawa bukan kerusi itu yang kami mahu “rampas” tetapi hakikatnya ialah prinsip yang kami mahu semua pihak menghormati dan memeliharanya.

sumber - themalaysianinsider

No comments:

Related Posts with Thumbnails