Sejak beberapa musim ini, rakyat sudah mula terkeliru dan rungsing mengenai pakaian yang mereka kenakan setiap hari.
Mutakhir ini, warna pakaian yang dipakai pada satu-satu keadaan akan membawa kemudaratan sehingga boleh dibawa ke mahkamah dan bermalam di dalam lokap.
Pakaian Hitam
Pada Mei 5 lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melancarkan 1MalaysiaGelita [dalam Bahasa Inggeris, 1BlackMalaysia] yang menuntut agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan dan diadakan pilihan raya kecil. Justeru, seiring dengan kempen tersebut, Bersih menyeru seluruh rakyat berpakaian hitam pada Mei 7 semasa DUN Perak diadakan.
Pada hari tersebut, seramai 126 orang termasuk wakil-wakil rakyat ditangkap di Ipoh. Kebanyakan mereka berpakaian hitam. Menurut beberapa video klip yang diambil, ada seorang warga Ipoh yang beriadah setiap pagi juga ditahan bersama yang lainnya, hanya kerana dia berpakaian hitam. Orang tersebut kelihatan terpinga-pinga apabila ditangkap anggota polis yang berpakaian preman.
Pada Mei 7 juga, sekotak baju hitam peniaga yang berniaga di luar masjid di Ipoh dirampas dan penjualnya ditangkap. Sebanyak lebih kurang 170 helai pakaian ‘ditahan’ sebagai bahan bukti.
Keadaan lebih runcing apabila belasan orang ditahan polis baru-baru ini kerana mengadakan acara menyala lilin dan berpakaian hitam di Brickfields, Kuala Lumpur dan di tempat-tempat lain. Pihak polis telah mereman selama tiga hari 16 orang yang ditangkap pada malam Khamis di Teratai, Selangor manakala Adun Teratai, seorang wanita, diminta menanggalkan pakaian hitamnya lalu memakai pakaian seragam lokap.
Pakaian Putih
Pada Mac 7 lalu, juga pernah diadakan tangkapan besar-besaran seramai 124 orang kerana berpakaian putih semasa menghantar memorandum ke Yang Di-Pertuan Agong menuntut pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Di baju-T putih mereka tertera simbol anti-PPSMI dan yang lainnya ‘152’ menandakan hak rakyat mengenai bahasa kebangsaan mengikut nombor Artikel Perlembagaan Persekutuan.
Pada waktu itu juga, seramai sekurang-kurangnya 4,000 menyaksikan pihak polis meleraikan perarakan yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dengan menembak gas pemedih mata.
Pakaian Merah
Pada Julai 6, 2007 Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) mengadakan perhimpunan besar-besaran menuntut harga bahan bakar turun. Mereka melancarkan merah sebagai warna rasmi dalam kempen bantahan mereka. Selepas perundingan dijalankan, akhirnya mereka dan pihak polis bersetuju untuk perhimpunan itu diadakan di Stadium Kelana Jaya, Selangor.
Salah satu publisiti yang diadakan sebelum ke tarikh Julai 6, 2008 Geramm menganjurkan program yang berjalan secara aman (Peace Walk) pada Jun 28 dan diakhiri dengan penangkapan dua orang peserta berhampiran komplek membeli-belah Sogo di ibu negara. Mereka dan kesemua yang menyertai perarakan itu berpakaian merah.
Pakaian Jingga
Pertubuhan Tindakan Hak-hak Hindu (Hindraf) melancarkan jingga sebagai warna rasmi pergerakan tersebut. Jingga menjadi ketakutan kerajaan sehingga kerajaan terpaksa memutuskan untuk mengharamkan pertubuhan tersebut.
Pakaian Kuning
Pada November 10, 2007 perarakan bersejarah yang bermatlamat menuntut pilihan raya bersih dan adil memperlihatkan pusat bandaraya Kuala Lumpur dibanjiri dengan kuning.
Perhimpunan massa itu mensasarkan untuk mengumpul seramai 100,000 orang tetapi malangnya, banyak bas-bas yang ditahan sewaktu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan polis merampas baju-T kuning.
Sungguhpun pemandu tidak berpakaian kuning tetapi ada kereta menuju ke KL yang digeledah bagi mencari pakaian kuning!
Di beberapa tempat, misalnya Masjid Jamek, polis bertindak ganas dengan menembak gas pemedih mata. Di Pasar Budaya, polis mengarahkan kompleks tersebut ditutup bagi menghalang ‘orang kuning’ dapat berlindung dan berhimpun. Di Masjid Negara, mereka dikepung dengan kawalan pihak polis yang ketat.
Kuning dipilih kerana salah satu tuntutannya ialah untuk media adil. Tuntutan lain Bersih ialah pembersihan senarai pemilih, pemansuhan undi pos kepada anggota polis dan tentera, penggunaan dakwat kekal dan tempoh kempen yang berpatutan.
Keadaan pada waktu itu sungguh tertekan sehinggakan seorang mangsa Aleyasak Hamid Ali Hassan tergelincir dan jatuh tertiarap di atas laluan pejalan kaki. Dia diterpa polis yang tidak berpakaian seragam dan salah seorang anggota polis tersebut memijak lutut kaki Aleyasak yang sedang terlipat sehinggalah pecak lututnya pecah dengan bunyi ‘pop’.
Sungguhpun Aleyasak merayu dengan mengatakan bahawa dia tidak terlibat dengan perhimpunan dan hanya menjual pisang goreng, polis mengheretnya ke trak. Dia kemudiannya menyaman pihak polis dan kesnya masih dalam perbicaraan.
Jadi, dengan insiden-insiden tersebut menyebabkan kita belajar untuk peka berpakaian demi keselamatan. Bagi mereka yang menganjurkan, sesuatu warna itu menjadi suara. Akan tetapi kepada segelintir orangramai, pakaian mungkin kini menjadi fobia.
Tidak mustahil kepada orang kebanyakan untuk berasa takut untuk berpakaian dan terpaksa melihat akhbar (sungguhpun tidak melaporkan berita sebenar) tentang acara-acara yang dijalankan.
Ada juga yang takut berpakaian batik pada hari Khamis kerana takut dicapkan sebagai kakitangan kerajaan yang terkenal dengan perkhidmatan lembab.* Dan ada juga yang mungkin takut berpakaian biru muda dengan lajur merah [warna bendera Mongolia] kerana takut tidak dapat mendapat projek kerajaan Persekutuan.
Tidak berpakaian?
Akan tetapi sekiranya seseorang itu bercadang untuk tidak berpakaian, mereka harus berfikir banyak kali.
Penyanyi Faizal Tahir pernah membuka bajunya serta menampakkan dadanya yang dicat huruf ‘S’ warna merah ketika membuat persembahan konsert yang disiarkan secara langsung di televisyen. Dia selepas itu digam untuk seketika oleh beberapa syarikat penyiaran di bawah Media Prima, dan juga oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sekumpulan yang menggelar diri mereka Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) pula ada berhasrat untuk berbogel di hadapan pintu bangunan SUK Selangor tetapi dibantah Majlis Agama, dan akhirnya mereka akur menggugurkan niat mereka itu.
Fobia berpakaian warna salah akan merasuk kepada lebih ramai rakyat marhaen sekiranya amalan demokrasi untuk berpakaian dihalang polis dan tindakan pihak-pihak berkuasa ini tidak dibendung.
sumber - sabahdaily
No comments:
Post a Comment