Sangat jarang terdapat perkara yang diperangi habis-habisan para sekularist dan para agamawan. Kedua-dua golongan ini senantiasa berbeda pendapat pada banyak perkara, dek kerana perbezaan pokok pemikiran pada dua golongan ini; golongan secular dengan asas pemikiran matearilis dan realist mereka, manakala golongan agama dengan asas pemikirian rabbaniyyah mereka. Namun yang pastinya, mereka bersetuju tentang satu perkara, bahwa rokok itu sangat berbahaya kepada umat manusia dan perlu diperangi ke akar umbinya.
Di seluruh dunia, pelbagai usaha untuk memerangi rokok giat dilakukan. Larangan untuk merokok telah bergema baik secara langsung atau tidak langsung. Di Malaysia, Vietnam, India dan Britain umumnya, pengharaman merokok di tempat awam telah dilaksanakan. Tempat-tempat seperti pusat membeli-belah, pusat rekreasi, premis berhawa dingin, sekolah-sekolah dan premis-premis kesihatan telah diisytiharkan sebagai zon larangan merokok. Kod amalan penerbangan antarabangsa pula, jika dahulunya membenarkan amalan merokok di belakang pesawat kininya mengharamkan terus pengambilan bahan tersebut didalam pesawat seluruh dunia.
Di seluruh dunia juga, kerajaan mengambil langkah serampang dua mata untuk membasmi amalan merokok ini. Dalam usaha mereka menangani masalah ketagihan rokok ini, untung juga dikaut dengan menaikkan cukai terhadap syarikat-syarikat pengeluar rokok ini, dengan harapan bahawa bilangan perokok akan berkurangan akibat harga rokok yang tinggi. Perang terhadap rokok juga dilakukan dengan arahan untuk meletakkan amaran akan bahaya rokok di kotak-kotak rokok yang dijual. Jika di timur tengah, kalimahnya adalah “at-Tadkhin yadhurrush”, jika di negara barat pula, “Smoking is Dangerous for Health”, manakala di Indonesia, “pula Merokok dapat menyebabkan kanker, serangan jantung, inpotensi, dan gangguan kehamilan dan janin.”
Tidak cukup dengan metod-metod tersebut, arahan untuk memaparkan gambar-gambar kesan amalan merokok terhadap perokok juga telah dilaksanakan. Di Malaysia, Indonesia dan Thailand amnya, gambar-gambar seperti janin yang gugur, kanser paru-paru, barah salur pernafasan dan penyakit gangren telah menjadi pemandangan wajib bagi perokok di saat pertama mereka membelinya. Syarikat-syarikat rokok juga telah diharamkan untuk mempromosikan produk-produk mereka secara umum, baik melalui papan iklan, iklan televisyen, mahupun iklan di radio.
Kemuncak kepada segala-galanya adalah, World Health Organization (WHO) telah menetapkan 31 Mei setiap tahun sebagai hari tanpa asap rokok. Hari yang ditetapkan bagi seluruh dunia menunjukkan solidariti mereka akan bahaya amalam merokok.
Satu fakta yang perlu disedari oleh para perokok di seluruh dunia adalah, kajian Harvard School of Public Health menunjukkan bahawa 64% kematian para perokok adalah disebabkan rokok sementara 87% kematian akibat kanser paru-paru datang dari golongan perokok. Perokok juga memiliki risiko 70% untuk menghidap penyakit berjangkit yang terkait dengan jantung dan pembuluh darah. Rokok juga adalah asbab kepada pelbagai penyakit lain antaranya kemandulan, kanser usus, asma, leukemia, diebetes, kanser mulut, kanser pangkal pernafasan, esofagus, pankreas, usus kecil, ginjal, leher rahim, dan stroke. Selain itu, rokok juga menyebabkan nafas berbau, kekuningan pada gigi dan masalah sistem pembuangan. Wanita yang merokok juga mempunyai kemungkinan 74% untuk menghidap kanser payudara.
Bayangkan, di dalam sebatang rokok, terdapat lebih 4000 bahan kimia yang berbahaya didalamnya!. Mungkin sesetengah perokok akan mengatakan ianya karut, tetapi inilah hakikat keputusan kajian beberapa buah universiti terkemuka di seluruh dunia. Asap rokok mengandung racun tar yang mengandung 43 bahan kimia yang menjadi penyebab utama kanser antaranya Nikotin dan Karbon Dioksida yang merupakan gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Asap rokok juga mengandung zat beracun, seperti acetone (bahan cat) ammonia (pencuci lantai), racun serangga, arsenic, dan gas beracun.
Menambahkan lagi dajjal rokok, ianya juga bukan sahaja menyediakan satu bencana kepada penghisapnya sebaliknya kepada orang sekelilingnya juga. Golongan yang digelar perokok pasif ini iaitu orang yang tidak merokok, tetapi menghirup
asap rokok sebenarnya lebih berisiko berbanding perokok aktif. Perokok aktif mungkin sudah memiliki sedikit kekebalan pada sistem imunitinya kerana sudah terbiasa akan racun-racun tersebut manakala tidak pada perokok pasif.
Rokok hanya mula dikenali di dunia Islam pada abad ke-9 Hijrah. Dengan itu, tiada dalil secara langsung dari Al-Quran dan Hadith yang menyatakan secara langsung akan pengharaman rokok. Walaubagaimanapun, uniknya Al-Quran dan hadith adalah ianya releven pada setiap zaman, tempat dan situasi. Metod usul fiqh yang juga digunakan para ulama’ untuk mengharamkan tuak masam dan dadah turut diaplikasikan dalam kes haramnya rokok. Bahaya rokok sudah tersangat jelas dan kesan ketagihannya juga melarat di seluruh dunia. Dari itu, firman Allah didalam Al-Quran “Jangan kamu biarkan diri kamu jatuh kepada kebinasaan” dan “Dan janganlah kamu memboros, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang pemboros” dan Hadith Rasulullah s.a.w “Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh membahayakan diri orang lain” adalah tersangat sesuai dengan amalan merokok. Walaubagaimanapun, bukan didalam lingkungan kemampuan penulis untuk membahaskan akan kaedah-kaedah usul-fiqh yang diguna pakai ulama’ untuk menjatuhkan haramnya rokok sepertimana haramnya arak, tuak, dadah dan pil khayal.
Majlis Fatwa Malaysia melalui muzakarah ke-37 telah sepakat untuk mengeluarkan fatwa pengharaman rokok, Majlis Ulama’ Indonesia juga pada Januari 2009 telah mengeluarkan fatwa yang sama akan haramnya rokok. Barisan-barisan ulama’ yang mengharamkan rokok adalah seperti Dr. Yusuf Al-Qardhawi (mufti Qatar), Syeikh Abdul Aziz Binbaz (mantan mufti Arab Saudi), Syeikhul Hadith Nasiruddin Al-Albaani, Dr. Farid Waseel (mufti Mesir), syaikh Muhammad bin Ibrahim, dan Prof. Dr. Abd Al-Halim Mahmud. Nah! Nama-nama besar yang disebutkan tadi adalah ulama’-ulama’ muktabar!. Mungkin salah seorang dari mereka adalah mujaddid di abad ini.
Jika nasihat diberi kepada para perokok terdapat beberapa jawapan “cliche” yang biasanya diberikan mereka. Antaranya adalah semua benda adalah berbahaya jika berlebihan. Jawapan saya adalah “how much is too much ?” Red wine adalah baik untuk jantung jika diambil dalam kadar sedikit, namun apakah jatuh hukum haramnya kerana perkara tersebut ? dan siapakah yang boleh memastikan bahawa ketagihan terhadap red wine tidak berlaku selepas itu. Sama kepada para perokok, mereka pada mulanya cuba-cuba, namun akhirnya ? menjadi hamba durjana kepada batang-batang mahal. Antara jawapan lain yang diberikan adalah “haramnya rokok itu adalah khilaf ulama’ “. Kalau begitu kata saya nyatakan nama ulama’nya dan nyatakan dari mana sumber pengambilan hukumnya ? ternyata tidak mampu dijawab walau seorang dari kalangan mereka.
Tidak mustahil bagi perokok tegar yang menyatakan rokok itu adalah darah daging mereka untuk meninggalkan rokok. Ianya adalah mitos dari mulut mereka yang berpaksikan hawa nafsu, manakan tidak, jikalau begitu tentulah tiada orang yang sanggup meninggalkan tabiat merokok mereka. Walhal, ramai sahaja di kalangan umat manusia yang berjaya meninggalkan tabiat merokok mereka walau sudah berpuluh tahun mengambilnya. Yang penting adalah niat dan kemahuan. Andai para penagih dadah berjaya mengatasi masalah ketagihan inikan pula para perokok!. Tambahan pula, sudah berbagai-bagai teknik telah dicipta oleh mereka-mereka didalam bidang perbuatan untuk mengatasi masalah ketagihan rokok yang terbukti keberkesanannya. Hanya tinggal para perokok sahaja yang perlu mencarinya seperti kata pepatah “gayung tidak bersambut”.
Trend pengambilan rokok di kalangan masyarakat hari ini mungkin disebabkan pada awalnya rokok itu dianggap sebagai sesuatu yang “cool” pada kacamata akal pendek mereka. Mungkin juga rokok lebih sinonim sebagai medium sosial bagi masyarakat yang pelbagai latar belakangnya. Atau bagi remaja, seandainya mereka tidak merokok maka mereka tidak akan diserap kedalam kelompok “otai” atau “gedebe”. Prasyarat untuk menjadi orang-orang otai atau gedebe adalah mereka perlulah seorang perokok. Tidak salah juga jika dikatakan bahawa pada awalnya, merokok hanya dilakukan sekadar cuba-cuba namun akhirnya ketagihan itu memakan diri mereka. Namun walau apa pun asbabnya, tidak dapat disanggah lagi bahawa merokok itu merbahayakan kesihatan dan haram di sisi syariah.
Ironinya, dari dua golongan agamawan dan sekularist, hanya golongan perokok yang mati-matian mempertahankan faedah rokok. Segala hujah yang disampaikan akal sihat adalah karut, berniat jahat, mainan golongan aristokrat dan khilaf ulama’ yang diperselisihkan. Rokok itulah yang bagus, rokok itulah yang baik dan rokok itulah yang bermanfaat. Sindrom ini tidak lain dan tidak bukan adalah sindrom “bertuhankan hawa nafsu!”.
sumber - PAS Selayang
2 comments:
info tentang merokok kat sini -
Quit Smoking for the Family That Loves You
info tentang merokok kat sini -
Quit Smoking for the Family That Loves You
Post a Comment