Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    11 years ago

Friday, June 12, 2009

Senjata Makan Tuan?

Sejak akhir-akhir ini terutamanya selepas Muktamar PAS Pusat ke 55, secara tiba-tiba angin perubahan didalam arena media internet yang selama ini meniup dan menyejukkan pimpinan Pakatan Rakyat terutama PAS secara tiba-tiba bertukar menjadi ribut taufan yang menggoncangkan!

Teman sendiri agak musykil dan terkejut dengan fenomena ini. Sebegitu banyak bloggers yang sebelum ini amat membantu, yang berkorban untuk menyiarkan berita-berita PAS, yang menjadi penyumbang idea-idea dan pendapat yang amat baik telah membuat satu ‘turning over’ dalam isi-isi artikel dan luahan minda mereka. Apakah sebenarnya yang berlaku? Takkan kita nak katakan ini adalah kerja-kerja ‘direct’ UMNO-Barisan Nasional?


Kita renungkan kembali.. sejarah kebangkitan Bloggers ini. Menitip satu perjuangan yang agak singkat tetapi melalui revolusi yang sangat hebat! Bermula dengan kemunculan Mahazalim.tripod yang telah menjadi perintis kepada satu media yang amat-amat ampuh dan berkesan! Hasil daripada galakkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional sendiri dengan kempen “Cinta IT Sayang IT” mereka. Diwaktu gelombang reformasi sedang meningkat naik, golongan para pelajar yang dengan gembira dan berani memilih jurusan IT di IPTS dan IPTA semakin mencanak naik! Sehinggakan berlakunya lebihan tenaga kerja dan kepakaran didalam Industri pekerjaan di Malaysia. Inilah sebenarnya antara faktor yang banyak membantu kejayaan Pakatan Rakyat dalam dunia Siber. Inilah sebenarnya punca yang telah memeningkan UMNO-Barisan Nasional bermula lebih kurang sedekad yang lalu.


Kini, kelihatan Ribut Taufan yang melanda pimpinan PAS Pusat semakin tidak dapat dipastikan lagi! Adakah ianya semakin kurang atau semakin kuat.. jika semakin kurang adakah dapat dipastikan tidak ada gelombang Tsunami yang sedang menanti? Dan yang paling penting, mengenal pasti apakah sebenarnya yang menyebabkan bloggers ini menimbulkan gelombang?


Sedemikian banyak bloggers yang timbul baik yang Pro-PR mahupun PRO-BN, bukanlah suatu tugas yang mudah untuk kita memastikan kesahihannya. Ada yang dahulunya kuat menghentam UMNO-BN tetapi kini dah lain ayat-ayatnya, ada yang sebaliknya! Malahan ada yang tiba-tiba menukar konsep daripada politik Islam ke memelihara arnab! Mungkin dah jemu dengan suasana politik Malaysia yang semakin mengarut dibawah pimpinan UMNO-Barisan Nasional Najib sekarang nie..


Teman selaku orang yang mengikuti perkembangan dunia IT ini sejak 1999 dahulu merasakan bahawa inilah sebenarnya liku-liku yang Allah SWT takdirkan untuk mematangkan pemikiran PAS secara lebih terbuka. Senjata ini (IT) yang telah banyak membantu dan kini senjata ini juga yang telah menyerang kembali tetapi harus diingat! Bukan menyerang untuk memusnah tetapi menyerang untuk muhasabah!


Di alam siber ini, tiada siapa boleh menghalang sesiapa sahaja untuk memberi pendapat hatta Tukang Kebun Sekolah di Hulu Perak sekalipun boleh menyuarakan isi hatinya untuk pembacaan seorang rakyat Amerika di Hulu Nevada! Kerana itulah apabila sebilangan besar bloggers menyuarakan pendapat menyokong seseorang, maka bencana besar pula kepada orang tidak disokong oleh golongan itu!

Di dalam isu kepimpinan parti PAS ini, pada perhatian teman, ada segolongan yang mengaku ahli PAS yang membawa isu-isu yang dibuat oleh Media-media UMNO yang sebelum ini bukan main dimusuhinya! Sebaik sahaja Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan mengenai Kerajaan Perpaduan, media-media UMNO ini terus mencanangkan yang PAS mahu bekerjasama dengan UMNO! Maka disiarkanlah komen-komen daripada toghut-toghut seperti Khairi Jamaludin, Hishamuddin Tun Hussein,Shafie Afdal dan juga ketua mereka Najib! Dan amat malang sekali apabila ada ahli-ahli PAS, bloggers yang mengaku PAS dan PR yang turut sama menari mengikut alunan muzik mereka! Itu sebenarnya yang berlaku! Bertambah malang apabila walaupun Timbalan Presiden PAS telah menyatakan bahawa bukan UMNO yang semestinya menjadi pilihan untuk berpadu, mereka ini masih lagi meneruskan tarian bermuzikkan UMNO! Aduh! Malangnya kita..



Setelah melalui pelbagai rintangan, siri-siri Usrah yang bertujuan memantapkan akidah perjuangan, menguatkan ukhwah jemaah dan wala’ kepada pimpinan, akhirnya takkan ini hasilnya? Takkan ini kesan usaha kita selama ini? Sekian lama ahli-ahli PAS berbangga dengan aktiviti usrah dan tarbiyyah, adakah ini kesan yang kita mahu? Bukankah kita boleh digelakkan oleh puak-puak penyokong dan pendokong toghut nanti? Dan mungkin mereka sedang memulakan gelak ketawa ketika ini! Demi Allah! Jangan sesekali kita membiarkan mereka mampu untuk melakukannya!


Harapan teman kepada rakan-rakan bloggers, menulislah dengan hati yang bersih, bukan dengan dendam dan kemarahan. Memang amat menyakitkan apabila kehendak hati, impian diri, tidak terpilih sebagai pemimpin! Seperti gadis yang dicintai memilih orang lain sebagai suami! Namun begitu, sebagai manusia yang mengaku pejuang, sebagai manusia yang mengaku menegakkan Islam, wajarkah kita menghentam,mengherdik malah ada yang sampai tahap menghina Presiden,Timbalan Presiden semata-mata kerana tidak puas hati dengan keputusan mereka? Apa sudah jadi dengan pengisian Usrah selama ini? Apa sudah jadi dengan iktikad selama ini?


Akhirnya, marilah kita sama-sama mengamalkan sikap menghormati pimpinan biarpun tidak setuju dengan beberapa keputusan mereka. Bukankah Rasulullah SAW juga pernah dikritik oleh para sahabat dalam Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah? Teman bukanlah orangnya yang sesuai untuk menukilkan pendapat berdasarkan Al-Quran dan hadis secara jelas kerana teman tidak mahir! Namun teman cuba menggunakan isi hati ini yang ingin melihat segala kekeruhan dan taufan ini berakhir dengan baik dan membawa satu cahaya,angin yang lembut dan sopan untuk seluruh rakyat Malaysia selepas angin taufan yang kita ciptakan sebelum ini berjaya menghancurkan UMNO-Barisan Nasional!


"Bersama Kukuhkan Ukhwah"


sunsnake


No comments:

Related Posts with Thumbnails