Sudah lama saya tidak menulis di blog saya ini. Bukannya tidak mahu tetapi masa yang terlalu terhad buat saya. Tetapi hari ini, walau apa pun berlaku, saya mesti menulis tentang sahabat lama saya Muhamad bin Sabu (Mat Sabu).
Saya dengar berita beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS yang akan berlansung Jumaat ini. Saya harap beliau akan menang. Ini bukanlah kerana beliau sahabat baik saya, tetapi pada pandangan saya beliau memang layak untuk jawatan itu.
Saya kenal Mat Sabu sejak tahun 70an lagi. Masa itu beliau masih bujang dan berkerja di CCM Shah Alam. Bila dia kerja malam sebelah pagi dia akan ke Pejabat ABIM, Jalan Daud, Kampung Baru. Kalau dia cuti dia akan ikut kawan-kawan ABIM berceramah atau buat program di luar kota.

Selepas beliau berkahwin dengan Kak Normah, perjuangannya dalam PAS tidak juga kendur. Malahan beliau telah meletakkan jawatan di CCM kerana ditawarkan bertanding di Kepala Batas dalam pilihanraya umum 1982. Beliau tidak berdolak dalik bila diarahkan menjadi calon, walaupun dia tahu dia akan berhadapan hilang punca pendapatan selepas pilihanraya nanti.

Lebih huduh lagi ada kalangan yang lain, yang aktif dalam PAS selepas Anwar Ibrahim disingkir dari UMNO. Walaupun mereka tidak menjadi ahli UMNO tetapi kita tahu mereka tidak mahu aktif dalam PAS kerana tidak mahu bertembung dengan Anwar Ibrahim yang pada masa itu begitu berpengaruh dalam UMNO.
Selepas kalah dalam pilihanraya 1982, Mat Sabu terus menghambakan dirinya sepenuh masa dengan perjuangan PAS. Kepetahannya berceramah dengan suara paraunya boleh menarik ribuan pendengar. Beliau menjadi antara penceramah PAS yang paling digemari. Popularitinya setanding dengan Tuan Guru Haji Hadi dan Ustaz Fadzil pada masa itu. Ini menjadikan Mat Sabu tidak lekat di rumah kerana sentiasa mendapat undangan ceramah di seluruh negara.
Disebabkan beliau jarang berada di rumah hinggakan anaknya sendiri merasakan ayahnya sebagai pendatang di rumahnya sendiri. Pernah beliau menceritakan kepada saya, anak kecilnya Huda bertanya semasa ia mahu keluar berceramah, " ayah bila nak datang lagi".....
Hari ini bila gelombang politik bertukar rentak dan PAS telah berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan dan Kedah dan bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Ramai kalangan yang dulunya memandang sepi kepada PAS, kini mula memanjang-manjangkan leher supaya muka mereka terlihat.

No comments:
Post a Comment