Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    11 years ago

Tuesday, June 30, 2009

Chin Peng vs Henry Gurney???

Pegawai Daerah Nor Hisham Ahmad Dahlan (kiri) bersama anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Lans Koperal Mat Supor Kumis memotong reben pada majlis perletakan Papan Tanda "Lokasi Pembunuhan Sir Henry Gurney" pada 7 Okt 1951, di Batu 56 1/2 Jalan Kuala Kubu-Bukit Fraser di sini, Sabtu. Perletakan papan tanda adalah untuk memperingati peristiwa hitam di mana Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Lovell Goldwsorthy Gurney ditembak mati oleh pengganas komunis. Foto: Azman Firdaus

‘Chin Peng anak kelahiran Tanah Melayu, ketika membesar telah terserap dengan mood anti penjajah yang amat kuat. Mood anti penjajah yang ada pada beliau bukan setakat membebaskan negara tetapi lebih tinggi menjadi mood fahaman pengurusan ekonomi menentang fasis kapitalisme dan menghanyutkan beliau ke fahaman komunisme dengan dalam. Chin Peng percaya dengan fahaman Komunisme negara ini mampu di urus dengan lebih baik kerana pada kepercayaannya Komunisme lebih humanis dan menjamin hak sama rata bukan seperti kapitalis yang hanya menjamin hak pemodal besar Lantas atas kenyakinan kuatnya beliau menentang penjajahan British dengan sepenuh daya dan pemikiran beliau.’

Pada 21 Jun yang lepas telah di adakan satu majlis yang kononya ‘amat bermakna’ di tepi jalan, Jalan Kuala Kubu – Bukit Fraser.

Pegawai Daerah tersebut, Nor Hisham Dahlan (yang mungkin sudah siap menangani semua aduan penduduk dan pembayar cukai setempat) telah hadir bersama dengan anggota Persatuan Bekas Perajurit Tentera Malaysia untuk memotong reben merasmikan terletaknya papan tanda lokasi pembunuhan Henry Gurney di Batu 56 ½, Jalan Kuala Kubu – Bukit Fraser.

Maka sesiapa yang melalui jalan tersebut pada waktu itu pasti akan terkejut dengan kehadiran anggota agak ramai polis dan tentera yang turut diarahkan hadir meraikan perletakan papan tanda tersebut yang mewirakan Henry Gurney. Mana tidaknya jalan yang sehari – hari sunyi dan lengang tiba – tiba kelihatan ramai anggota beruniform bukan kerana kemalangan tetapi kerana meraikan sebuah pana tanda.

Sudah tentu bersungguh – sungguh lagi majlis ini apabila ia dibuat ketika semangat menolak Chin Peng pulang ke Malaysia .

Pertama sekali, siapa dia Henry Gurney yang nak diagungkan kematiannya ini? Henry Gurny ialah warga kelahiran British. Dia dibesarkan dalam keluarga bangsawan yang percaya bahawa bangsa mereka gagah dan kuat serta berdaulat. Maka semua bangsa lain perlu tunduk kepada kekuasaan bangsawan British. Di besarkan dengan persekitaran Eropah masih dipenuhi hamba abdi dari Asia dan Afrika.

Sebelum dihantar bertugas di Malaysia beliau merupakan Ketua Pentadbiran Inggeris di Palestin (1946 – 1948). ‘Jasa’ beliau yang harus kita tidak lupa ialah menjadi antara perancang membawa masuk bangsa Yahudi khususnya yang berfahaman Zionis untuk menjadikan Palestin sebagai kawasan perlindungan. Tanah rakyat Palestin dirampas untuk menjadi perlindungan Yahudi yang kononya dizalimi di Eropah. Dari hanya kawasan perlindungan, ‘berkat’ usaha gigih Henry Gurney pada tahun 1948 tertubuhlah negara zionis Israel lakhanat.

Atas kecekapan beliau memperdaya arab Palestin dan menubuhkan negara Israel maka, Henry Gurney telah dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948.

Perlantikan beliau ke jawatan nombor satu di Tanah Melayu oleh British dengan harapan mampu terus memperdaya penduduk Tanah Melayu untuk terus mempertahankan sistem kapitalis dengan menolak unsur komunisme yang anti imperialis serta paling penting mematahkan gerakan kemerdekaan anti penjajah yang tidak seiring dengan kapitalisme amalam British.

Sejak September 1948 bukan sedikit pejuang kemerdekaan ditangkap, dipenjara dan dibunuh oleh Henry Gurney dengan menabur fitnah bahawa mereka pengganas dan menentang negara.

Ingat negara atau kerajaan pada masa itu ialah kerajaan penjajah British. Banyak kumpulan yang bangkit menentang penjajah dilabel komunis dan pengganas. Memang tidak dinafikan fakta sejarah ada kumpulan yang membuat keputusan membebaskan negara dengan memikul senjata dan masuk ke dalam hutan.

Itupun atas perbagai faktor. Bayangkan pertubuhan atau gerakan kemerdekaan negara diharamkan,ramai pemimpin gerakan kemerdekaan ditangkap dan ada yang mati dan hilang tanpa dikesan. Selaku pemimpin pada masa itu hanya ada 3 pilihan, bergabung bersama badan siasah yang direstui penjajah atau menanti ditahan (mungkin dibunuh) atau masuk ke hutan pikul senjata pertahankan prinsip.

Untuk memutuskan bantuan kepada pihak yang menentang dari dalam hutan. British memperkenalkan sistem kampung baru, masyarakat dipaksa pindah ke dalam kawasan penempatan baru yang berpagar duri dan di bawah kawalan senjata.

Ada rekod kebun orang asal dan penduduk di pinggir hutan dibakar kerana takut menjadi sumber makanan pasukan bersenjata menentang penjajah. Orang asal dan penduduk kampung dipinggir hutan diugut jangan bekerjasama dan dimainkan ilusi bahawa pasukan bersenjata di dalam hutan yang menentang penjajah jahat dan ganas.

Tanpa menafikan memang ada juga rekod keganasan dari pasukan bersenjata yang menentang penjajah.

Tidak cukup dengan itu didatangkan tentera upahan dari luar negara yang turut dijajah British untuk mempertahankan ‘keamanan’ dan ‘kestabilan’ kerajaan penjajah British. Maka wujudlah tentera Gurkha dan perbagai tentera luar yang sama membelasah pasukan bersenjata yang anti penjajah tidak kira mereka berideologi apa.

Dari 1948 – 1951, British bangga dengan Henry Gurney yang berjaya bukan sahaja mengekang tentangan bersenjata malah berjaya memainkan ‘psywar’ untuk mengheret sama anak tempatan mempertahankan Kerajaan penjajah British dengan perang anti Komunis nya, sedangkan kita perlu tahu dan sedar ada juga guru agama yang menanam sentimen anti penjajah turut ditangkap dan dikatakan terlibat dalam kegiatan komunis.

Ini tidak dapat dinafikan sehingga sekumpulan mereka yang berpendidikan agama juga telah membuat keputusan masuk hutan menyertai Regimen ke 10 menentang penjajah British.

Henry Gurney begitu menikmati zaman kegemilanganya di Tanah Melayu. Dia dipuja dan dikawal umpama ‘Presiden Tanah Melayu’. Bergerak ke mana – mana dengan koleksi kereta mewahnya seperti Rolls Royce yang bangga terkibar Union Jack (bendera penjajah) didepanya.

Pada 7 Okotober 1951, semua kemegahan Henry Gurney musnah apabila beliau mati dengan tembakan dalam satu serang hendap oleh pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya yang serangan itu dikatakan diketuai oleh Chin Peng.

Tepat 12 kilometer sebelum sampai pusat peranginan mewahnya di Bukit Fraser beliau ditembak mati, namun isterinya yang turut berada di dalam kereta tidak dicederakan.

Sejurus selepas itu semua tentera baik anak watan mahupun tentera upahan asing digerakkan secara besar – besaran memburu ‘pengganas’ komunis. Digambarkan ganasnya komunis ini sehingga saggup membunuh Henry Gurney.

Lupakah kita Henry Gurney ialah antara manusia yang mencipta negara Israel yang sehingga kini menjadi masalah dunia.

Di bawah ini diperturunkan ayat di perenggan ke dua di papan tanda yang dengan bangga diletakkan mengenang tempat kejadian pembunuhan Henry Gurney.

Henry Gurney bersama isterinya dan setiausaha peribadi D.J Stapler bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Bukit Fraser untuk urusan rasmi dan berehat. Apabila kereta Rolls Royce yang membawa rombongan Gurney itu dengan kibaran bendera ‘Union Jack’ oleh Konstable Mohd Din sedang mengambil selekoh s di bt. 56 ½, kira – kira 8 batu dari Bukit Fraser tiba – tiba Rolls Royce menjadi sasaran peluru pengganas komunis”

Ayat di atas menggambarkan kita tidak pernah belajar untuk menulis sejarah sendiri. Tulisan penjajah yang merakam sejarah kita salin bulat – bulat. Kita bangga dengan kibaran Union Jack. Ada rekod Henry Gurney mati dan isterinya selamat tetapi apa nasib Mohd Din yang diperdaya menjadi pemandu lantikan penjajah, kita tidak kisah.

Bukankah sebagai anak Malaysia kita harus bangga antara manusia yang menyebabkan tertubuhnya negara Zionis Israel mati dan darahnya dipaksa menyimbah bumi kita.

che’GuBard bukan penganut komunisme, tetapi tidak hairan lepas membuat posting ini ada juak yang membuat tuduhan che’GuBard komunis kerana mereka mewarisi taktik Henry Gurney.

Ini juga berlaku kepada Ust. Ibrahim Libya yang dibunuh mati kerana dituduh komunis, hanya kerana kepercayaan bahawa negera ini bukan negara Islam dan dia tidak mahu ditangkap ISA kerana kepercayaannya itu. Dia ahli PAS, pondok tempat dia mengajar menjadi Markas PAS. Namun regim warisan penjajah ini menggerakkan ‘aparat’ bersenjata membunuh bukan sahaja Ust. Ibrahim Libya tetapi pengikutnya tidak kira perempuan atau orang tua mahupun kanak – kanak. Mana lebih kejam serangan Chin Peng ke atas rombongan Henry Gurney (penjajah) tanpa membunuh isterinya atau serangan ‘aparat’ bersenjata Regim Bn ke atas pondok agama di Baling Kedah dibawah arahan Musa Hitam dan Mahathir Mohamad ?

Dalam mengangkat sejarah kita perlu jujur. Jangan gunakan sejarah untuk menakutkan ganerasi selepas itu atau mencari siapa yang salah, siapa yang benar ? Siapa kita yang hendak menjadi hakim kepada sejarah, tetapi sejarah perlu diangkat menjadi pengajaran …..agar bangsa kita ini menjadi bangsa yang kuat…… kesilapan dalam merakam sejarah harus dihentikan.

Tidak benar kemerdekaan negara pada tahun 1957 diperolehi hanya dengan runding-runding atau bincang – bincang sahaja. Mengangkat fakta salah ini umpama menghina sejarah perjuangan bangsa sendiri. Kemerdekaan ini telah dipaksa diberikan oleh penjajah setelah tidak tahan dengan tekanan yang diterima. Dari penentangan awal seperti Tok Janggut, yang difitnah sebagai penentang dan pengganas sehingga tokoh agama ini dihukum mati digantung terbalik dan mayatnya dibiar berhari – hari. Sehinggalah penentangan tekanan Parti Komunis Malaya mahupun gerakan politik seperti Melayu Muda, API , AWAS dan seumpamanya. British tidak punya banyak pilihan terus menjajah secara konvensional dan berdepan dengan tentangan rakyat yang mula meningkat atau mencari satu pewaris yang mampu mentadbir negara ini dengan imej tempatan tetapi dengan syarat mampu menjaga polisi kapitalisme British. Maka British telah memilih untuk mengharamkan semua pertubuhan pro kemerdekaan yang tidak mampu menjaga kepentingan British dengan perbagai label dengan hanya membenarkan beberapa organisasi politik yang mampu menjaga kepentinganya bergerak dan mendapat kemerdekaan darinya.

Henry Gurney mendapat layanan begitu istimewa di tanah ini sama ada ketika hidup atau ketika sudah mati. Bukan setakat jalan, sekolah, bangunan dinamakan dengan namanya malah tempat dia mati yang selama ini terlupa diletakkan makamnya sudah diletakan baru baru ini. Adakah ‘regim warisan penjajah’ ini tidak tahu akan sejarah Henry Gurney dan kaitannya dengan kekejaman Zionis atau ‘regim’ ini tidak kisah dengan kekejaman zionis.

Melihat kepada beberapa perkembangan ia lebih kepada regim warisan penjajah ini tidak kisah.

Ramai mungkin tidak percaya dan mengatakan che’GuBard hanya menulis berdasarkan sentimen bukan fakta.

Secara mata kasar sememangnya negara ini kelihatan anti Amerika , anti – Zionis yang kuat. Itulah gambaran media negara ini membentuk persepsi kepada rakyat sendiri.

Lihat sahaja selepas ucapan ‘berapi – api’ Dr. Mahathir menghentam barat dan Amerika dalam satu Perhimpunan Agong Umno media tempatan terus memainkan ucapan tersebut seolah ucapan itu juga menjadikan Dr.Mahathir hero negara Islam. Malangnya ramai tidak tahu bahawa selepas itu Dr.Mahathir membazirkan jutaan wang rakyat untuk membayar Jack Abramoff, Heritage Foundation, kumpulan pelobi Yahudi (zionis) untuk melobi sehingga membolehkan Dr.Mahathir berjumpa dengan Bush buat beberapa minit dan menjelaskan ucapanya. (sila klik membaca lanjut isu pelobi yang dibayar untuk membolehkan bertemu Bush). Tradisi menggunakan pelobi tersebut juga diteruskan dengan bayaran jutaan ringgit oleh Abdullah kepada Jack Abramoff untuk membolehkan beliau berjumpa Bush.

Jack Abramoff telah dijatuhkan hukuman bersalah di Mahakamah di Amerika kerana mengumpul bayaran melampau dan cara salah sebagai pelobi dan dalam fakta kes beliau di mahkamah ada tercatat kes Malaysia membayar beliau.

Masih ingatkah kita, dengan insiden menantu Abdullah Badawi pada 2006 yang membawa pemuda Bn berkumpul di depan KLCC membuat demonstrasi menghalau Condoleezza Rice . Khairy yang patah tangan pada ketika itu diberikan imej juara anti Amerika dengan mengumpulkan anak muda menghalau pemimpin Amerika yang dibawa masuk oleh bapa mertuanya. Tindakan Khairy seolah menggambarkan Malaysia benar anti Amerika , Anti Zionis Israel . Namun ramai yang tidak tahu pada waktu yang sama tentera Amerika sedang berada di Johor ‘berseronok’ mengukur tanah negera ini dalam sesi latihan ketenteraan.

Ketika keganasan Israel memuncak semula baru – baru ini, regim warisan penjajah yang memerintah negara ini cuba menggambarkan bahawa negara ini serius menentang dan ingin melumpuhkan negara Zionis itu. Maka rakyat pun di ajak jangan makan KFC (walaupun KFC itu milik saham terbesar anak tempatan), jangan makan Mc Donald atau jangan minum coke.

Boikot itu kuasa pengguna tetapi boikot barangan kecil tidak akan ada sudahnya. Jika berani halang saja barangan tersebut masuk ke Malaysia …sudah tentu tidak berani….

Malaysia sebenarnya tidak kisah, tahu atau tidak banyak kontrak atau hubungan perniagaan yang lebih besar dari setin coca cola yang agihan kek ekonominya tidak dirasai rakyat tempatan tetapi terus masuk ke poket zionis berlaku di Malaysia .

Selain yang diterangkan sebelum ini Jack Abramoff (pelobi Yahudi pro Zionis), regim ini punya kaitan rapat dengan Saatchi & Saatchisebuah agensi perunding/pengiklanan multi nasional yang pro Zionisme. Syarikat tersebut menjadi perunding imej dalam beberapa siri pilihanraya yang bertanggungjawab mencari teknik kempen dan pengiklanan untuk kempen regim Bn. Syarikat yang sama juga terlibat dalam banyak projek kerajaan.

CIMB sebuah syarikat kewangan yang dimiliki oleh adik Najib Tun Razak telah menadatangani kontrak bernilai USD 250 juta kepada sebuah syarikat yang berpengkalan di Israel . CIMB telah menyumber luarkan pengurusan Jabatan IT nya kepada EDS (electronic data system) selama 10 tahun. (Sila klik sini untuk baca siapa EDS? )

Hubungan CIMB dengan EDS bukan sahaja tidak mempedulikan keganasan Israel Zionis tetapi turut memangsakan pekerja CIMB sendiri yang dibuang kerana Jabatan IT disumberluarkan. (sila klik sini carian CIMB aniaya pekerja)

EDS telah ditubuhkan pada tahun 1995 dan berngpengkalan di Herzelyia , Israel . Syarikat ini jugalah merupakan syarikat yang mengendalikan sistem komputer polis, ketenteraan dan pertahanan Israel . Malah ia juga terlibat dalam industri persenjataan Israel . Dan hubungannya dengan Malaysia dirakamkan dengan bangga dalam Laporan Tahunan CIMB 2008. (sila klik untuk laporan CIMB 2008)

Sudahlah kita telah lama sangat dibodohkan……………… Kini masa anak muda untuk bangkit melawan kebodohan….Kita seharusnya bosan dengan memu momokan ‘perkauman’ yang sudah disajikan berulangkali sejak zaman penjajah lagi kemudian di ulang – ulang oleh regim pewaris penjajah ini.

Konsep satu Malaysia harus didokong, tetapi bukan satu Malaysia versi Najib yang hanya retorik sebaliknya kita harus mendokong satu Malaysia versi Rakyat dengan rukun pertama merdeka dari politik perkauman.

Bangsa yang kuat ialah bangsa yang merdeka mindanya.

sumber - http://chegubard.blogspot.com


No comments:

Related Posts with Thumbnails