Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    11 years ago

Saturday, June 13, 2009

Kepada yang tak faham-faham! WAJIB BACA!!!

Teman siarkan balik wawancara Harakah dengan Tuan Guru Presiden sebelum Muktamar ke 55 berlangsung. Jelas maksud Unity Government.. Kalau ada yang tak paham jugak! tak taulah teman!

sunsnake

PELBAGAI isu panas berlegar dalam masyarakat dan rakyat, amat memerlukan kupasan serta penjelasan oleh kepimpinan PAS. Jika tidak dirungkai akan berlaku kekusutan serta terbelit dalam kefahaman sesama sendiri. Justeru, wartawan Harakah Terengganu, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD mewawancara Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kediamannya, di Rusila, Marang baru-baru ini bagi mendapatkan pandangan berkenaan isu-isu yang melingkungi dalam dan luar parti.

HARAKAH: Dalam agenda membentuk 'Kerajaan Perpaduan' atau 'Government Unity', adakah PAS masih optimis untuk berunding bersama Dato Seri Najib Tun Abdul Razak bagi merealisasikan hasrat tersebut?

USTAZ ABDUL HADI: Saya melihat masih ramai yang tidak faham tentang 'Unity Government' termasuk orang PAS sendiri dan di kalangan pimpinan pun ada yang masih belum faham lagi. Ini kerana, mungkin mereka sibuk, tidak berpeluang membaca buku-buku politik dan tidak membaca istilah-istilah politik.

Dalam politik ada kerajaan yang sepenuhnya, ada yang disebut'Unity Government', ada 'Coalition Government' dan ada 'Front National'. 'Front National' itulah dia Barisan Nasional (BN) yang ada pembangkang. Kerajaan campuran ini adalah antara satu parti yang memerintah dengan parti yang lain diajak sama dalam pemerintah dengan syarat-syarat yang dibuat.

Di mana kebiasaannya dia (parti) terikat, partinya terikat dengan syarat-syarat bersama dengan kerajaan dan tidak banyak perubahan dibuat. Dan PAS berpengalaman dalam dua kerajaan iaitu Kerajaan Campuran (Perikatan) dan Kerajaan Barisan Nasional. 'Unity Government' bukan Kerajaan Campuran dan bukan Barisan Nasional. Itu kena faham. Ini kerana ada orang PAS sendiri faham masuk Barisan Nasional dan kerajaan campuran semula. Ini menandakan tidak faham 'Unity Government'.

Boleh Dato' Seri jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'Unity Government' ini?

'Unity Government' ini adalah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik dan tidak ada pembangkang langsung. Semua parti duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syakhsiyyah, ada kepelbagaian dan dia (parti) berhak untuk membangkang di mana 'Unity Government' ini membolehkan orang dalam Umno sendiri bangkang kerajaan.

Ini kita (PAS) memecahkan tradisi yang dibuat oleh Umno yang ada pada hari ini. Di mana orang Umno tidak boleh bangkang parti dia dan kalau bangkang dia akan kena pecat. Ini termasuklah, kita membebaskan Umno itu sendiri. Ini kena faham dan dalam masa yang sama 'Unity Government' ini mestilah melakukan perubahan yang adil untuk semua rakyat. Ini termasuklah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan kehakiman, pentadbiran.

Boleh Dato' Seri kemukakan contoh-contoh apa yang dikatakan "Unity Government" yang dipakai di mana-mana?

Image

Konsepnya mesti berubah dan bukan apa yang ada pada hari ini. Sebagai contoh, di Indonesia yang saya sebut tadi. 'Unity Government' di Indonesia berlaku pemisahan kuasa dengan 'SPR' atau Pemilu di Indonesia dengan badan politik. Pemisahan kuasa dengan badan kehakiman, sehingga badan kehakiman di Indonesia boleh menyeret Suharto ke mahkamah, boleh menyeret Perdana Menteri dan Menteri-menteri ke Mahkamah jika melakukan kesalahan. Ini kita (PAS) hendak bersihkan negara.

Di Israel sebagai contoh, Perdana Menteri Israel pun boleh dibawa ke mahkamah dan disiasat. Ini 'Unity Government' dan pilihan raya di Indonesia adalah pilihan raya yang berubah. Di mana Barisan Nasional tidak ada hak memonopoli TV termasuklah semua parti boleh menggunakan TV.

Tapi Dato' Seri, masih ramai orang yang tidak faham termasuk ahli-ahli PAS sendiri?

Inilah masalahnya. Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini 'unity' biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju. Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa 'Unity Government'. Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima. Oleh kerana, ramai orang tidak faham, maka, saya tarik balik cadangan saya itu. Saya tarik balik sehingga orang kita faham betul-betul.

Adakah cadangan Dato' Seri ini telah dibincangkan pada peringkat jawatankuasa tertinggi parti?

Sebenarnya, 'Unity Government' ini kita telah bincang dalam dialog politik di kalangan kepimpinan PAS Pusat. Kita telah membincangkan semua aspek. Aspek Barisan Nasional, aspek Kerajaan Campuran termasuklah 'Unity Government' dan ini juga menjadi perbincangan termasuklah aspek undi tidak percaya. Dan termasuk 'Unity Government' yang saya kemukakan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri. Ianya disokong oleh KeADILan dan DAP.

Saya telah memaklumkan kepada DAP dan DAP menyertai dalam beberapa usaha yang dilakukan tetapi oleh kerana, kita melihat orang Umno sendiri takut hendak buat 'Unity Government' dan mungkin dia (pemimpin Umno) bimbang kerana akan ada orang dia (Umno) dibicarakan di Mahkamah, maka ia terhenti.

Umno takut untuk teruskan?

Image

Dia (Umno) tidak berani. Sebab itu "Unity Government' tidak jadi dan saya tarik balik cadangan saya. Saya yakin dan percaya pada suatu hari nanti orang akan terima cadangan saya, orang akan fikir balik. Apabila masa tenang balik dia (Umno) fikir balik. Apabila keadaan yang munasabah. Dan 'Unity Government' adalah untuk membuangkan orang yang bermasalah dalam negara. Ini bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga dalam pembangkang sendiri.

Apakah isu ini dijangka akan menjadi topik perbahasan hangat para perwakilan pada muktamar akan datang?

Ini akan menilai orang yang bercakap itu faham atau tidak dan dengan sebab itu, saya harap jika tidak faham usah bercakap nanti orang nampak kita tidak faham, kita jahil. Tetapi yang hendak bercakap (Unity Government) mesti yang faham.

Apakah implikasi terhadap kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan KeADILan di Bukit Selambau?

Implikasi terhadap kemenangan PAS di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sudah tentu kepada perkembangan politik tanah air. Sokongan kepada Pakatan Rakyat terutama kepada PAS sendiri.

Pertama, sudah tentulah terserlah jentera pilihan raya di semua tempat adalah jentera PAS yang memainkan peranan yang besar. Kedua, kerjasama yang erat antara PAS dengan parti-parti Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Melayu memberi implikasi Islam. Di mana, kita telah berjaya memecahkan tembok pemisahan yang memisahkan antara kita dengan orang-orang bukan Islam hasil daripada kita memperkenalkan politik Islam yang terbuka kepada semua manusia bukan sahaja kepada orang Islam termasuk juga orang bukan Islam.

Adakah ini kesan langsung dari dakwah PAS selama ini?

Keadilan Islam adalah mutlak dan kita telah berjaya merealisasikan konsep ini dalam pemerintahan PAS di Kelantan dan pernah di Terengganu. Dalam masa yang singkat pemerintahan PAS di Perak dan di Kedah dan kenyataan kita di negeri Pakatan Rakyat.

Hasil dari pelaksanaan yang ringkas ini telah memberi keyakinan awal kepada orang-orang bukan Islam menyebabkan mereka bekerjasama dengan jentera PAS. Bahkan, memberi undi kepada orang-orang PAS sendiri dalam pilihan raya di Bukit Gantang dan dalam masa yang sama kita berjaya memberi kefahaman kepada akar umbi PAS tentang pelaksanaan kerjasama.

Maksud Dato' Seri, hubungan kerjasama itu makin erat dan dihayati sebetulnya dalam bentuk praktikal ...

Ya! Jentera PAS di Bukit Selambau telah memberi kerjasama yang baik untuk memenangkan calon KeADILan. Walaupun calonya dari bukan Islam tetapi mereka adalah dalam kumpulan yang bertahaluf dengan PAS dan akan memberi kekuatan kepada kerajaan yang dipimpin PAS di Kedah.

Ini sudah tentu ia memberi implikasi yang mendalam pada perkembangan politik tanah air. Maka, berlakunya satu anjakan paradigma di kalangan pengundi-pengundi muda orang Melayu Islam yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat termasuk PAS. Ini ternyata, melalui saluran-saluran orang muda seperti saluran 3, 4, 5 dan 6. Saluran ini memberi kemenangan besar kepada PAS, walaupun saluran-saluran tua masih lagi menunjukkan perubahan yang sedikit walaupun banyak isu yang berlaku.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, undi kaum Cina meningkat banyak. Apakah mesejnya itu?

Kita melihat pengundi bukan Islam telah mengundi PAS di Bukit Gantang dan memberi undi yang besar. Sebab itu, majoriti di Bukit Gantang adalah di luar jangkaan PAS. Ia di luar kiraan yang kita buat. Ini kerana, ditambah dengan pengundi-pengundi yang bukan Islam. Saya sendiri telah memberi hujah untuk mengemukakan satu senarai calon di Bukit Gantang. Dan hujah ini dibincang bersama kalangan Jawatankuasa Politik PAS Pusat, kemudian mendapat sokongan daripada pengundi muda dan bukan Islam.

Ini perubahan yang berlaku. Sudah tentu dengan perkembangan politik tanah air khususnya di Semenanjung iaitu di kawasan-kawasan rakyat mendapat maklumat, celik politik meningkat. Walaupun media arus perdana yang dikuasai kerajaan dan disalahgunakan oleh kerajaan, cuba menutup kebenaran di pihak Pakatan.

Sebab itu, tidak pelik jika di Batang Ai kita menemui kegagalan kerana itu kawasan pendalaman yang rakyat tidak mendapat maklumat. Radio dan berita pun jarang-jarang dengar, apa lagi TV dan kertas-kertas undi dibawa dengan helikopter. PAS kurang yakin dengan ketelusan, keamanahan pilihan raya itu.

Pada pengamatan Dato' Seri, bagaimana reputasi Perdana Menteri baru yang dipimpin oleh Dato Seri Najib?

Saya anggap ini kenderaan lama yang masih lagi kebocoran tayar, kelemahan enjin dan akan lebih parah. Ia berlaku, sejak pada zaman Tun Dr Mahathir dan ini bukan baru.

Image

Pada zaman Tun Dr Mahathir lagi sudah berlaku kelemahan-kelemahan ini dan Tun Abdullah Ahmad Badawi memikul dengan berat penyakit-penyakit itu dan penyakit itu tidak boleh diubat. Sehingga zaman Tun Abdullah Badawi dan Najib mengambil-alih kenderaan yang sama. Cuma yang berubahnya nakhoda. Kapalnya bocor yang sama dan dibayangi gejala rasuah, dibayangi penyalahgunaan kuasa dan dibayangi oleh pelbagai jenis penyelewengan yang tidak boleh diatasi hingga ke hari ini.

Jadi, perubahan yang dijanjikan oleh Umno dengan pelantikan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri sekadar perubahan yang bersifat kosmetik. Apa komen Dato' Seri?

Begitulah! Kalau kita hendak kata secara jelas kerana sehingga hari ini tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan berlaku satu perubahan yang menyeluruh. Sebab itu, kita kata tunggu. PAS akan lihat positif terhadap sebarang perubahan yang baik dan PAS akan menentang penyelewengan. Soalnya sama sahaja. Tiada perubahan bahkan lebih meningkat dari masa-masa yang lalu berdasarkan kemajuan yang dicapai.

Boleh Dato' Seri mengulas sedikit beberapa keputusan mahkamah terutama dalam kes yang berkait dengan kemelut di negeri Perak?

Sehingga hari ini, saya tidak yakin dengan kebebasan kehakiman berlaku dengan sepenuhnya di negara kita. Dan tidak ada pemisahan kuasa di antara legislative dengan pentadbiran, dengan kehakiman.

Tidak ada dalam erti kata yang sebenar dalam pentadbiran mengikut sistem British. Apatah lagi mengikut sistem Islam. Dan British pun banyak mengambil daripada Islam dan membekalkan sistem pemerintahan kepada negara barat. Di sini berlakunya pemisahan kuasa yang diajar oleh Nabi s.a.w. pada zaman pemerintahannya. Dan pemisahan kuasa di antara politik, kehakiman dan pentadbiran.

Sehingga Nabi kita Muhammad s.a.w. dalam mengendalikan kes dia (Nabi) dengan rakyat dibawa kepada hakim yang dilantik, yang dibebaskan bercampuran dengan Rasulullah s.a.w. sendiri. Tiada campurtangan Rasulullah s.a.w. sendiri dalam kehakiman.

Ini pada zaman Khilafah dan cara ini diambil oleh British dan diamalkan di negara kita. Diamalkan pada zaman Tunku Abdul Rahman, masih ada di zaman Tun Abdul Razak dan makin lemah pada zaman Tun Hussein Onn dan zaman Mahathir lagi lemah. Semua orang tahu bagaimana bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat dan bagaimana hakim-hakim yang lain dipecat. Ini adalah gejala yang tidak sihat yang dimulakan pada zaman Tun Dr Mahathir dengan sebab itu, saya meragui zaman pemerintahan Najib yang dibayangi oleh Tun Dr Mahathir yang ada di dalamnya.

Muktamar PAS dijangka akan diadakan pada bulan Jun ini. Beberapa jawatan utama pastinya dipertandingkan. Wajarkah 'pertandingan' di peringkat jawatan tertinggi parti itu?

Ini bukan kali yang pertama berlaku sejak zaman PAS mula ditubuhkan. Zaman Dato Asri Muda, zaman Ustaz Yusof Rawa, zaman Dato Fadzil Noor bahkan, pada zaman saya pun berlaku dalam muktamar yang lalu. Tetapi saya yakin terdapat kematangan di kalangan ahli PAS dan saya minta kematangan ini dipelihara. Dan PAS hendaklah selamat daripada gejala-gejala politik yang tidak sihat seperti politik wang, politik ugut, politik melobi dan politik kempen yang melampau.

Apa yang berlaku, pertandingan atas dasar berlumba-lumba untuk mengerjakan kebajikan dan bukan berlumba-lumba untuk menjadi ketua dan berlumba-lumba mendapat kelebihan. Kalau berlumba untuk jadi ketua itu dilarang oleh Islam. Kalau berlumba untuk mendapat fadhilat, untuk berada di medan yang hadapan, untuk menghadapi musuh dan menjadi sasaran kepada gejala-gejala politik zalim. Itu merupakan satu petanda yang baik dan itulah yang kita harapkan berlaku dalam PAS ini.

Penilaian Dato' Seri terhadap cabaran dan harapan kepada Pakatan Rakyat yang menggabungkan kerjasama antara PAS, KeADILan dan DAP?

Harapan saya supaya Pakatan Rakyat diteruskan dan bagi PAS sendiri kita akan meningkatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Sebenarnya, Pakatan Rakyat ini ditaja oleh PAS sejak zaman kita (PAS) bersama dengan Parti Melayu Semangat 46. Kemudian, lebih meningkat lagi dengan Barisan Alternatif (BA) pada zaman Ustaz Fadzil Noor dan pada tahun 2004-2008 ianya menjadi lebih matang lagi.

Dan kita mengharapkan mantap lagi pada masa yang akan datang. Harapan saya 'Pakatan Pembangkang' ini tidak berpecah. Kita bersatu dalam menghadapi Pakatan Kerajaan dan berlakunya dua parti dalam negara itu lebih sihat dan tidak banyak memecahkan rakyat.

PAS bersikap anjal atau fleksibel dalam menangani kerjasama di atas prinsip Islam dengan PAS tidak menjual prinsip dan PAS tidak memaksa parti-parti lain dalam pakatan menjual prinsip tetapi kita (PAS) boleh bekerjasama dalam perkara yang sama atau titik persamaan yang satu di antara kita bagi membuat perubahan ke arah yang adil, menentang kezaliman. Di mana menegakkan yang adil dan menentang yang zalim merupakan perkara sejagat yang kita tidak berbeza antara satu sama lain.

Sejak mutakhir ini dilihat kecelaruan berlaku dalam politik Umno-BN, bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh negara. Apa yang Dato' Seri boleh simpulkan?

Saya tidak mahu campurtangan banyak dalam hal Umno. Pengamatan saya dari luar itu lebih bersifat perlumbaan untuk merebut kepentingan. Royalti akan dipulangkan balik kepada Terengganu. Ini sudah tentu banyak projek yang akan mencurah di Terengganu melalui royalti yang akan dipulang-balik itu. Mereka merasakan mereka tidak berpeluang lebih banyak melalui projek-projek ini, akan berrsikap haloba untuk mendapat kuasa itu. Kepada saya ini suatu gejala yang tidak baik bagi negeri Terengganu, cukup dengan berlakunya projek-projek haloba dari tahun 1978 hingga 1998.

Ketika PAS berkuasa dulu, macam mana PAS betulkan kepincangan ini?

Apabila PAS cuba hendak buat pembetulan, kita telah dicantas melalui politik yang kotor. Daftar pemilih yang terlalu besar jumlah sehingga tidak padan dengan penduduk di negeri Terengganu. Dan kita sabar menghadapi karenah itu. Kita tidak bertindak liar. Bahkan, saya pernah sebut di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), PAS pernah bersabar selama 40 tahun. Dari tahun pilihan raya 1959, kita menang dan kita jatuh. Kita tunggu hingga pilihan raya 1999 (40 tahun). Kita boleh sabar, kerajaan PAS jatuh di tengah jalan dalam tahun 60-an. Kita sabar dan kita menunggu sehingga PAS menang tahun 1999. PAS pernah diguling tahun 2004 dengan cara yang begitu rupa dan kita bersabar.

Kita balik dengan lapan kerusi semula dan kita sabar menghadapi karenah-karenah ini. Saya percaya mereka (pemimpin) yang rakus dalam Umno tidak bersabar dalam melihat perubahan ekonomi yang akan berlaku bagi kepentingan puak masing-masing tanpa mengira dunia ditenggelam oleh gejala dan krisis ekonomi yang parah. Sudah tentu Terengganu yang duduk dalam Malaysia akan menerima kesan yang sama. Sepatutnya, kita berfikir bagaimana untuk mengatasi masalah rakyat dan kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Bukan kita berebut untuk mendapat projek dan merasakan kuasa politik yang ada ini boleh menghalang di kalangan tertentu mendapat projek dan berlakulah pergolakkan itu.

No comments:

Related Posts with Thumbnails