1985 kami sekeluarga berhijrah dari Pengkalan Hulu, Perak, lalu menetap di tempat kini di Kedah. Pengkalan Hulu nama aslinya Keroh adalah tempat yang hampir kepada Baling di mana kami mesti melalui tanah perkuburan Memali ketika balik beraya di kampung.
1985 boleh dikatakan satu tempoh waktu kemuncak di mana ahli-ahli jemaah Islam telah berkobar-kobar semangat mereka berikutan peristiwa pembunuhan Ibrahim Libya itu.
Segala kaset ceramah, rakaman video bersepah di rumah bersama timbunan pita rakaman video debat antara Ahmad Deedat dengan paderi Jimmy Swaggart pada ketika itu. Orang tua saya saat itu, amat ligat mendengar ceramah, menghadiri mukhayyam, khemah ibadat anjuran jemaah dan ketika pulang, memang bertimbun segala kaset di rumah.
Rakaman pembunuhan ke atas Ibrahim Libya itu diulang-ulang banyak kali di rumah dan saya pun tidak faham kenapakah Ibrahim Libya diperlakukan sedemikian rupa.
Fitnah ke atas beliau jangan cakaplah. Memang menimbun fitnah yang tercetak di corong radio, tetuang udara dan televisyen. Nak buat macam mana? Semua media bagai koleksi harta khazanah mak bapak depa! Ruang untuk kita beri penjelasan sikit habuk pun tak dak!
Gambaran video tentang kekejaman dan kezaliman askar kerajaan yang merempuh dalam perkampungan itu tidak menumpukan dengan jelas kepada saya mengenai latar belakang Ibrahim Libya, apakah yang dia lakukan sehingga beliau diperlakukan sebegitu rupa.
Semua gambaran kisah ini akhirnya tenggelam begitu sahaja ditelan waktu. Saya dewasa dengan campur aduk peristiwa lain hingga pernah menganggap ISA ini masih diperlukan untuk kununnya menjaga keselamatan awam.
Sedikit demi sedikit, hasil bualan bersama Ahmad Lutfi, wawancara bersama Abu Urwah dan wawancara bersama Said Zahari telah berjaya mencerahkan pemikiran gelap tentang ISA ini. Maka, bermula era baru melawan ISA sampai mati!
Apabila saya tahu kegelapan ISA ini, saya tetap protes secara peribadi terhadap tindakan Anwar yang pada malam beliau ditahan di rumahnya di Damansara dahulu.
Pasukan itu datang pada waktu malam dengan lengkap bersenjata. Mereka tendang pintu rumahnya, menyerbu secara kasar saat beliau membuat sidang media. Kata orang, Anwar tidak dijadikan tahanan politik sebaliknya diperlakukan sebagai 'penjenayah'.
Tak kisahlah apa sahaja kata-kata orang terhadap Anwar. Saya mungkin salah kerana hal mencari jawapan ini bukanlah suatu hal yang mudah. Kita hanya bercakap mengenai hal yang kita tahu saja. Yang kita samar-samar dan tak tahu itu, kita debatkan kemudian.
Perhatikan betul-betul kepada isu menahan orang pada waktu malam dengan kasar. Kalau seseorang itu penjenayah, setidak-tidaknya polis akan membaca pertuduhan ke atasnya sebelum dibawa ke balai untuk soal siasat. Begitu saya difahamkan.
Rumusan awal yang saya simpul secara peribadi ialah, DSAI itu hakikatnya tetap tahanan politik dan tuduhan ke atasnya dijadikan sebagai tuduhan yang bukan bersifat politik.
Asas rumusan itu ialah.. tahanan dan corak tangkapan terhadap Anwar itu dilakukan pada waktu MALAM dan ia diperlakukan dengan zalim dan kejam sekali. Ingat betul-betul hal yang ingin dijelaskan di sini, iaitu tangkapan itu dilakukan pada waktu MALAM.
Insya Allah, nanti akan diceritakan kenapa hal itu amat penting untuk dibincangkan..
ISA warisan Namrud, Fir'aun dan King Herod yang zalim dan kejam!
ISA itu lanjutan undang-undang puaka, perundangan drakonian, hukum drakula, unjuran ilham sang penguasa zalim dan kejam yang gemar meratah tulang berkuahkan darah saat menghukum rakyatnya.
Kira-kira 4,000 tahun yang lalu, Namrud bin Kan'an adalah raja yang suka memenjarakan rakyatnya sendiri lalu mereka dibunuh dengan kejam. Dia merampas apa-apa sahaja hasil tuaian rakyat. Maka, rakyat menyembahnya semata-mata kerana takut kekuasaannya.
Allah Maha Besar! Dikirimkan suatu pengenalan isyarat kepada raja yang zalim itu lewat mimpi. Seorang anak lelaki melompat ke atas singgahsana lalu merampas takhta Namrud. Baginda berpeluh dan keesokannya, isi mimpi itu menggegarkan seluruh isi istana.
"Seorang anak lelaki akan lahir tak lama lagi," seorang peramal istana memberi komen ke atas mimpi sang raja. "Dia akan dijadualkan untuk merampas takhta tuanku kelak!"
Malam itu juga, satu undang-undang baru didekrekan, peraturan kejam yang baru digazet melalui titah perintah Namrud!
"Malam ini, seluruh angkatan tentera harus segera ke kampung-kampung, di seluruh ibu kota dan di pinggir kota. Cari setiap bayi lelaki dan kalian wajib bunuh mereka!"
Malam itu kota Urr bermandikan darah. Keesokan paginya, banjirlah air mata mencurah-curah, melimpah di segenap pelusuk desa dan kota kerana nyawa setiap bayi lelaki telah dirampas haknya untuk lahir sebagai lelaki yang merdeka.
Serangan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap bayi lelaki itu dilakukan pada waktu malam. Ini sebetulnya warisan sikap Iblis dan syaitan ketika melakukan kejahatan.
Terdapat beberapa ciri persamaan antara Namrud, Fir'aun dan Raja Herod di Rom itu.
Seperti yang termaklum, Fir'aun juga mengalami mimpi yang lebih kurang sama. Seorang bayi lelaki melompat ke arah singgahsananya lalu merampas takhtanya.
Lalu, pada waktu malamnya, bala tentera Fir'aun telah masuk ke seluruh perkampung dan setiap bayi lelaki yang ditemui telah dibunuh, ditetak dan dihempaskan ke tanah!
Fir'aun enggan muhasabah, kenapakah Tuhan mengirim kelahiran bayi lelaki untuk hadir menggugat kekuasaannya? Ini kerana dinasti Firaun itu telah memperalat dan menjadikan Bani Israel itu sebagai hambanya guna melancarkan program pembangunan di Mesir.
Pada era King Herod, diriwayatkan dalam Bible, bahawa mimpi yang sama menyinggah ke dalam mimpi sang raja. Sekali lagi, buat kali ketiga, seorang kanak-kanak lelaki hadir untuk menggugat kekuasaannya seperti yang berlaku ke atas Fir'aun dan Namrud.
Negara Israel saat itu telah berada di bawah naungan empayar Rom. Dinasti Herod telah mengamalkan dasar yang menindas rakyatnya sendiri. Kadar cukai yang tinggi dan cukai yang tidak munasabah itu telah membebankan rakyat sendiri.
Seorang peramal memberitahu, seorang anak lelaki akan hadir membunuh kekuasaannya itu. Tetapi, sebagai biasa, peramal cuma memberitahu kehadiran pihak yang menentang raja-raja, tetapi tidak menyatakan kenapakah Tuhan mengirim seseorang yang melawan kekuasaan mereka yang zalim itu.
Anak-anak lelaki telah lahir sebagai penentang dasar, hukum dan peraturan yang kejam, zalim dan menindas masyarakat mereka sendiri. Mereka adalah Ibrahim yang melawan Namrud, Musa seteru Fir'aun dan Isa a.s yang melawan penindasan cukai raja-raja.
Ketiga-tiga pemuda ini bagaimanapun, bukan melawan kezaliman penguasa semata-mata malah turut mengirim mesej Tauhid, menumbangkan berhala, mengajak umatnya supaya tidak menyembah lembu sapi, dan menyeru rabai pendeta Yahudi agar tidak memandang ke arah kesenangan pangkat dan keduniaan.
Jika mahu dicoretkan kisah ketiga-tiga nabi ini, nescaya tidak sampai maksud pengenalan artikel ini yang mahu meriwayatkan kekejaman penguasa pada zaman mereka yang sama kejamnya dengan pemerintahan masa kini, khasnya yang terkait dengan ISA itu.
ISA, penahanan, serangan dan dibunuh pada waktu malam
Sekarang, entah bagaimana, setiap tahanan ISA diburu pada waktu malam. Baca memoir Said Zahari, Kassim Ahmad dan beberapa orang mantan tahanan ISA, mereka ditahan itu pada waktu malam, dinihari ketika sedang tidur, persis serangan tentera Namrud, Fir'aun dan Raja Herod yang membunuh bayi-bayi lelaki tak berdosa ketika malam.
Maka, cara yang sama telah dilhamkan oleh Tuhan ke atas nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Iaitu, larilah daripada musuh itu pada waktu malam.
Nabi Lut dan para pengikutnya telah melarikan diri daripada negeri Sadum kerana Tuhan mahu membinasakan penduduk negeri yang mengamalkan amalan seks bebas dan amalan seks sesama jantina itu. Hukuman Tuhan itu juga dijatuhkan pada waktu malam.
Nabi Musa juga diperintahkan membawa Bani Israel keluar dari Mesir pada malam. Dan, Rasulullah s.a.w juga ketika melarikan diri daripada kepungan musuh-musuhnya, hal itu dilakukan pada waktu malam.
Kenapakah tangkapan ke atas tahanan ISA itu dilakukan pada waktu malam. Pertama, ini adalah sikap kejam dan zalim Namrud, Fir'aun, Herod yang diwarisi secara tidak sengaja oleh Umno dan BN melalui 'guru' penjajah mereka; British. Tapi, Umno tidak menyedari bahawa mereka telah terikut-ikut dengan gaya kepimpinan Namrud dan Fir'aun ini.
Sebetulnya, setiap orang yang dapat menghidu, atau dicurah ilham bahawa kemungkinan mereka akan ditahan ISA pada waktu malam perlu segera melarikan diri sebagai Musa a.s melarikan diri daripada buruan bala tentera Fir'aun.
Zaman Musa menjadi 'fugitive' dan pelarian ini terhenti setelah baginda menjadi menantu kepada Nabi Syu'aib a.s. Setelah menikah, baginda terima wahyu di Bukit Tursina waktu malam ketika melihat api di bukit.
Sejak itu, tamat zamannya menjadi pelarian. Bermula episod barunya sebagai pejuang pembebasan ke atas Bani Israel yang dijajah Fir'aun!
"Ibrahim Libya tidak menyerah walaupun arwah Ustaz Fadhil Noor minta dia menyerah," kata Ahmad Lutfi kepada saya lagi pada malam itu. "Ini bermakna, Ustaz Ibrahim enggan menerima konsep tahanan tanpa bicara ini."
Sememangnya pada zaman-zaman itu, tahap pemikiran masyarakat ke atas ISA ini belum lagi hangat dan panas seperti yang terjadi pada saat ini khasnya pada 1 Ogos ketika bahan ini sedang digodam.
"Sebab itu Pas pada zaman itu tidak memberontak ke atas penahanan pimpinan al-Arqam di bawah ISA," kata Saari Sungib dalam suatu temubual di rumahnya di Ukay.
"Ini kerana, tahap pemikiran orang-ramai belum tiba ke tahap sekarang. JIM pernah beri ucapan dasar kepada pihak cawangan khas sebelum muktamar berlangsung," kata beliau lagi. "Ini menunjukkan bahawa ketakutan kita terhadap ISA itu masih wujud."
Tetapi, kisah-kisah 'kekalahan' orang-ramai pada saat itu boleh dimaafkan, diterima sebab kesedaran ke atas wajah gelap ISA masih belum hadir seperti zaman ini.
Ketika mendengar cerita-cerita lampau ini, baru saya terfikir bahawa kenapakah Ibrahim Libya ini perlu dirakam sebagai 'the real fighter', khasnya dalam usahanya melarikan diri kerana enggan ditahan di bawah ISA itu.
Pemikiran dan kesedaran Ibrahim Libya telah maju ke depan mendahului kita pada 1985, sejak zaman saya terkebil-kebil kebodohan menafsirkan sendiri, kenapakah orang seperti beliau ini ditahan. Video itu tidak menceritakan secara jelas kepada saya bahawa Ibrahim Libya adalah orang yang bakal ditahan di bawah ISA sebenarnya!
Dan, Ibrahim tidak mengalah sehingga sanggup menolak 'arahan' pimpinan jemaah pusat untuk menyerahkan dirinya kepada undang-undang zalim tersebut! Benar, Ibrahim Libya is the real fighter! (Mohon disebutkan di sini dengan izin GMP dan rakyat yang bencikan PPSMI!)
Wujudkan perkampungan ISA, tanah ladang ternakan ISA
Atas sebab ini, kita terfikir sendirian kenapakah dalam Surah al-Kahfi (gua), antara ramai watak wira dalam surah itu, maka surah itu dinisbahkan namanya dengan kumpulan anak muda yang bersembunyi di dalam gua?
Walhal, bukan tiada watak-watak hebat seperti Zulkarnain yang menguasai belahan dunia Barat dan Timur yang patut diabadikan namanya sebagai nama surah itu. Selain raja tersebut bukan tiada diperihalkan watak Musa dan Khidhir yang berbalah mengenai tiga persoalan yang melibatkan kerohanian mereka.
Namun, antara sekian watak-watak yang terselit di dalam Surah al-Kahfi itu, Allah s.w.t telah menggerakkan kita untuk menamakan surah itu dengan al-Kahfi, merujuk ceritera pemuda yang ditidurkan Tuhan dalam tempoh yang begitu lama.
Mereka ini mungkin berlari dari tahanan penjara seperti ISA guna menyelamatkan aqidah dan perjuangan mereka. Tidak disebutkan bahawa mereka melancarkan serangan ke atas raja yang zalim itu dari gua itu seperti Osama ben Laden. Sebaliknya, mereka cuma tidur sahaja.
Malah, sebaliknya mereka telah ditidurkan Tuhan dalam beberapa tempoh yang panjang dan mereka akhir tersedar semula lalu mereka menjadi bukti kepada generasi kemudian mengenai wujudnya sekumpulan insan yang memegang aqidah Tauhid sejak dinasti raja yang zalim dahulu.
Dan, kini telah wujud dinasti raja yang adil pula ketika mereka baru tersedar daripada tidur yang panjang itu. Tidurnya para pemuda al-Kahfi pun diangkat sebagai suatu perjuangan kerana berusaha menyelamatkan aqidah mereka.
Ertinya, yang dinamakan perjuangan ini bukan semata-mata angkat pedang dan mengangkat mata pena. Tidur pun diiktiraf sebagai perjuangan juga! (Tapi, hal ini hanya kes-kes khasnya dalam kes Ashabul Kahfi saja agaknya)
Tidurnya seseorang yang bercita-cita untuk menjadi demonstran jalanan ketika kemuncak revolusi di ibu kota, masih ada ruang untuk didebatkan dengan lebih lanjut lagi.
Nama-nama nabi seperti Ibrahim diangkat sebagai surah lantaran perjuangan menentang kezaliman raja puaka yang kejam zalim sebagai penguasa yang mempertahan ISA.
Kita perlu menamakan mereka yang telah berjuang melawan ISA ini dengan meletakkan nama mereka sebagai pengabadian seperti mana Tuhan mengabadikan nama kumpulan al-Kahfi ke atas surah yang disunatkan kita membacanya pada setiap Jumaat itu.
GMI dengan wang-wang sumbangan rakyat yang semakin sedar terhadap kebajingan ISA itu mungkin boleh digunakan untuk membeli tanah ladang agar dapat diusahakan kaedah membela kehidupan ahli-ahli keluarga tahanan ISA.
Kita boleh usahakan sektor perladangan, ternakan kambing Jamnapari, ikan pari-pari dan apa-apa saja. Hasilnya boleh dimanfaatkan guna menaja gerakan menekan BN sebelum PRU ke-13 yang bakal menyaksikan kejatuhan mereka kelak, insya Allah.
Pakatan Rakyat dengan empat negeri yang telah ditawan, mungkin boleh wartakan tanah-tanah di kawasan tertentu sebagai kawasan perkampungan dengan menamakan kampung itu dengan nama mantan-mantan tahanan ISA; Ibrahim Libya, A Samad Ismail.
Semoga hal seperti ini menjadi suatu bentuk tekanan kerajaan negeri PR ke atas kerajaan persekutuan BN pula. Orang ramai dan masyarakat telah menekan kerajaan melalui suatu perhimpunan di Sogo baru-baru ini. Hal tekanan seperti ini telah lama kita lakukan.
Dengan wujudnya tanah sebagai lambang kekuatan dan isyarat kepada bangkitnya modal, wang dan harta sebagai aset perjuangan, maka akan bertambah kuatlah perjuangan rakyat untuk memansuhkan ISA ini kelak.
Mana-mana pihak yang dapat berasakan dirinya sedang dalam buruan ISA, diperhatikan gerak langkah oleh SB-SB di cawangan khas Bukit Aman, wajib melarikan diri sebagai pelarian dan pelarian mereka sendiri bukan bererti takut, malah mereka sedang mengikuti jejak langkah Musa, Muhammad, Ibrahim dan Isa yang diburu penguasa zalim.
Rajin-rajinlah menonton drama bersiri Prison Break dan drama bersiri The Fugitive untuk mengkaji cara-cara menekan pihak polis, FRU dan kerajaan persekutuan BN.
Wajiblah ke atas kita mencari dan mencetak pelbagai kaedah untuk menyusahkan BN dan jangan sesekali kita memberi ruang supaya mereka berasa senang hati ketika meneruskan hal kezaliman mereka itu, khasnya dalam hal ISA ini.
Syahadan, awasilah malam-malam anda. Kerana bermula saat ini dan malam-malam yang berikutnya sesiapa pun boleh ditahan di bawah ISA dengan beberapa si pertuduhan boleh direka-reka dan dipaksakan ke atas anda termasuk orang yang sedang menggodam bahan ini.
Umno dan BN adalah watak-watak pendendam teragung. Mereka seboleh-bolehnya mahu menangkap musuh mereka sehingga dapat. Sebab itulah juga mereka akan menahan pada waktu malam ketika anda sedang berehat bersama keluarga.
Oleh itu, segala tuduhan mereka selalunya tidak rasional dan tidak masuk akal. Sebab itu juga anda tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
Maka, jika kita bijak, apakah kita ingin menyerah leher untuk dipenggal pendendam yang busuk hati, atau mahu melarikan diri untuk memberi tekanan ke atas mereka ini? Jawapan bijaksana sebenarnya sudah ada di tangan anda.
9:30 p.m, 1 OgosSekolah Pemikiran Kg Baru
(Cawangan Pendang)
Bantahan, pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan ke mel-e ibnuamir@yahoo.com. Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya
No comments:
Post a Comment