Sahabat-sahabat PASZBB

Terbaru di Aku Budak Balun!

  • Info Solat - Solat merupakan pengakuan taat setia antara manusia dengan Tuhannya, oleh itu hendaklah dilakukan dengan rasa taat, khusyuk, hormat, dan dalam keadaan b...
    11 years ago

Thursday, August 20, 2009

Sesi 'drift' di Bukit Beruntung?

‘Berpusing dua kali sebelum ke longkang’

BUKIT BERUNTUNG - “Saya rasa gegaran kuat akibat rempuhan dari bahagian belakang menyebabkan kereta saya berpusing dua kali sebelum masuk ke dalam longkang,” kata guru Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung (SKBB), Noor Hisham Haron, 38, menceritakan detik cemas kemalangan menimpa dirinya semalam.

Namun, beliau bersyukur kerana kemalangan itu tidak mencederakan dia dan anaknya, Nurul Husna Hayati, 6.

Kejadian yang berlaku jam 12.30 tengah hari itu ketika dia baru memasuki kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di bahu Jalan Teratai 1 setelah menjemput anaknya yang belajar kelas prasekolah di sekolah sama di sini.

Menurutnya, tanpa disedari sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam dipandu laju bagaikan sesi ujian litar ‘drift’ yang dipandu seorang remaja merempuh bahagian belakang keretanya dengan kuat.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila kereta berpusing setelah dihentam kuat sehingga memasuki longkang berhampiran pagar sekolah ini.

“Nasib baik anak saya berada di kerusi penumpang bahagian depan dan terselamat dari sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, apabila keluar dari kereta, dia ternampak seorang remaja berumur awal 20-an yang memandu kereta itu keluar lari dari keretanya menuju ke Taman Perumahan Jalan Teratai di sini.

Noor Hisham berkata, kejadian itu menyebabkan keretanya mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang termasuklah cermin pecah. Kerugian dianggarkan mencecah RM6,000.

Katanya, dia terpaksa menggunakan khidmat trak penunda untuk membawa keretanya ke Balai Polis Bukit Sentosa.

“Saya kesal sikap biadap remaja terbabit yang mengambil mudah kejadian ini dan memecut laju di kawasan sekolah serta tidak bertanggungjawab atas kejadian ini.

“Ketika itu, ramai murid dan ibu bapa sedang menghantar anak mereka ke sekolah untuk belajar sesi petang. Nasib baik mereka tidak sama terlibat dengan kejadian ini,” katanya.

Noor Hisham membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa pada jam 12.53 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Hulu Selangor, Asisten Superitendan Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, polis trafik akan menyiasat kejadian itu termasuklah status remaja yang melanggar kereta guru terbabit.

sumber - Sinar Harian

No comments:

Related Posts with Thumbnails